Kaji Punca, Latar Belakang Belia Muflis - Sohaimi‬

Diterbitkan: Jumaat, 24 Oktober 2014 8:29 AM

Datuk Sohaimi Shahadan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sekretariat Bebas Muflis (SBM) meminta Jabatan Insolvensi mengkaji punca dan latar belakang  belia yang diisytiharkan muflis sebelum merangka sebarang program kesedaran mengenai kebankrapan golongan itu.

‪Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kajian itu untuk memastikan setiap mesej dapat disampaikan secara lebih jelas kepada golongan sasar meskipun program kesedaran yang diadakan melibatkan belia  pelbagai latar belakang.‬

‪"Jabatan Insolvensi perlu buat kajian mengenai siapa sebenarnya dalam kumpulan belia yang diisytiharkan muflis di bawah umur 25 tahun.‬

‪"Kita perlu tahu adakah belia muflis itu merupakan mereka di kalangan pelajar universiti, terus bekerja selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) mahupun dalam golongan profesional.‬

‪"Kalau mereka (Jabatan Insolvensi) tak ada data itu, mereka perlu kumpul maklumat yang tepat lebih awal sebelum buat program dengan sesiapapun. Kita tak nak mereka sasarkan kumpulan yang salah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.‬

‪Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Jabatan Insolvensi akan mengadakan kerjasama dengan program 1Malaysia For Youth (1M4U) bagi memupuk kesedaran belia mengenai kebankrapan dan mendidik golongan itu menangani bankrap.‬

‪Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pada Ahad lalu berkata, kadar belia berumur 25 tahun ke bawah yang diisytiharkan bankrap di negara ini semakin membimbangkan berikutan seramai 579 individu direkodkan muflis dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.‬

‪Sohaimi berkata, program kesedaran mengenai kebankrapan ini juga diharapkan dapat dilakukan seawal peringkat sekolah dan universiti berikutan sudah ada yang diisytiharkan bankrap pada usia muda.‬

‪"Saya tak ada masalah kalau Jabatan Insolvensi nak buat program kesedaran dengan mana-mana agensi... 1M4U ke atau persatuan belia, asalkan mesej itu sampai kepada golongan sasar," katanya.‬

‪Beliau menambah, program di peringkat sekolah dan universiti boleh menggunakan pendekatan berpendidikan dengan memperjelaskan apakah yang boleh menyebabkan seseorang itu diisytiharkan muflis dan kesannya selepas itu.‬

‪"Penjelasan perlu diberikan kepada belia dengan menggunakan keadaan sebenar seperti seseorang itu hendak membuat pinjaman atau menjadi penjamin untuk pembelian kereta dan membuat bayaran balik (pinjaman)," katanya.‬

‪Mengenai Sekretariat Bebas Muflis, Sohaimi berkata, lebih 3,000 telah berdaftar dengan SBM bagi menyelesaikan kes kebankrapan sejak sekretariat itu ditubuhkan pada Oktober 2013.‬

‪Sohaimi berkata, lebih separuh daripada jumlah itu merupakan golongan belia yang berumur 35 tahun ke bawah.‬

‪"Secara keseluruhan, sebanyak 211 kes telah dibantu oleh SBM dan daripada jumlah itu, 88 kes berjaya diselesaikan di mana mereka bebas daripada muflis," katanya sambil menambah bahawa kes yang dibantu itu melibatkan semua peringkat umur termasuk belia.‬

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan