Saari Kemuka Surat Rayuan Isnin Ini

Diterbitkan: Rabu, 22 Oktober 2014 10:57 AM

Saari Sungib.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib akan mengemukakan rayuan berhubung penggantungan keahliaannya kepada Majlis Syura Ulama PAS Isnin ini.

Beliau berkata surat tersebut akan diserahkan sendiri di Pejabat PAS Jalan Raja Laut pada Isnin.

Ditanya sama ada beliau akan merayu agar penggantungan tersebut ditarik balik, Saari berkata: "Saya belum memutuskan apa yang akan dikarang dalam surat rayuan itu nanti. Saya telah berbincang dengan peguam dan beberapa rakan rapat untuk mendapatkan maklum balas dan pendapat mereka dalam isu penggantungan saya ini. 

"Insya-Allah dalam hujung minggu ini saya akan menulis surat rayuan tersebut. Perkara yang akan ditulis sudah berada dalam fikiran saya." katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata surat penggantungan itu diterima melalui pos pada 13 Oktober lalu, namun beliau telah menerima salinannya melalui e-mel pada 11 Oktober lalu. 

"Dalam surat penggantungan itu, kesalahan yang saya lakukan tidak dinyatakan secara spesifik, namun surat itu memaklumkan saya melakukan kesalahan di bawah perkara 82 (6) Perlembagaan parti. 

"Saya juga masih tertanya-tanya mengapa Jawatankuasa PAS pusat tidak menyatakan secara jelas kesalahan tersebut. Apa pun saya akan menjawab surat tunjuk sebab ini dan saya akan serahkannya Isnin ini," katanya. 

Sementara itu, usaha menghubungi seorang lagi Adun PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) yang turut digantung keahliaan parti kerana membelakangkan keputusan parti berhubung kemelut calon menteri besar Selangor tidak berhasil. 

Pada 11 Oktober lalu, Jawankuasa PAS pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama. 

Bagaimanapun, kedua-dua Adun berkenaan diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama parti mengikut fasal fasal 83 (4) (5)  Perlembagaan PAS pindaan 2011. 

Pada 29 September lalu, Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar  Selangor.

Tindakan kedua-dua Adun itu dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada 7 Ogos lalu yang memutuskan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkannya disingkirkan.


Tags / Kata Kunci: Saari Sungib , PAS , gantung keahliaan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan