Permaisuri Agong Terima Kunjungan Isteri Delegasi Capam

Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 2:01 PM

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan bergambar bersama delegasi Puspanita dan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014 ketika menerima kunjungan hormat sempena persidangan dwitahunan pertubuhan itu di Istana Negara di sini, Kuala Lumpur pada Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada Isnin menerima kunjungan hormat tiga orang isteri delegasi yang menghadiri persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014.

Mereka ialah isteri kepada Menteri Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pentadbiran Afrika Selatan Khensani Mavis Chabane, isteri Setiausaha Agung Kabinet Palestin Rawan Hatem Rafeq Alnasser dan isteri Setiausaha Tetap kepada Perdana Menteri Trinidad and Tobago Leslie Ann Antoinette-Cooper.

Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Kebangsaan Puan Sri Rohani Abdullah turut hadir mengiringi mereka semasa perjumpaan itu yang berlangsung kira-kira satu jam di Dewan Seri Temenggong, Istana Negara, di sini.

Persidangan CAPAM 2014 dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Sekretariat Komanwel dengan tema 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu'.

Persidangan tiga hari itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini dan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yesterday.

Persidangan itu dianjurkan untuk anggota berdialog, bertukar-tukar pengetahuan praktikal dan teori serta menjalin rantaian dengan masyarakat antarabangsa yang membangunkan perkhidmatan awam untuk masa depan Komanwel.

Kira-kira 1,500 peserta negara Komanwel terdiri daripada ketua kerajaan, penjawat awam kanan, ahli akademik dan penyelidik menghadiri persidangan itu.

CAPAM, sebuah persatuan bukan bermotifkan keuntungan, menjadi rangkaian antarabangsa bagi 1,100 penjawat awam kanan, ketua-ketua kerajaan, ahli akademik terkemuka dan penyelidik dari 53 negara anggota Komanwel.


Tags / Kata Kunci: Capam , Agong , Permaisuri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan