Malaysia Perlukan Akta Hasutan - Mohamad Hasan

Diterbitkan: Ahad, 19 Oktober 2014 9:48 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Malaysia memerlukan Akta Hasutan 1948 bagi menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Memang benar, akta ini diperkenalkan oleh British semasa zaman penjajahan namun, secara amnya mereka mempunyai fikiran serta pandangan yang jauh.

"Ini kerana rakyat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang perlu dijaga tahap sensitiviti agama, bahasa dan kebudayaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan perasmian persidangan perwakilan ke-61 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM) cawangan Negeri Sembilan di sini, Ahad.

Menurutnya pihak asing tidak harus campur tangan dan bersikap mendesak dalam perkara itu kerana ia menggugat kesejahteraan dan keharmonian rakyat. 
 
Sehubungan itu, beliau mencadangkan PV-ATM cawangan Negeri Sembilan membuat resolusi menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada desakan pihak-pihak yang meminta akta itu dimansuhkan.

Mohamad juga meminta bekas tentera di seluruh negara supaya mendaftar seabagi anggota PV-ATM bagi membolehkan mendapat bantuan buat diri mereka dan keluarga.

Selain itu, beliau berharap Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dapat memberikan latihan sewajarnya kepada tentera dalam penyediaan ke dunia persaraan.

Pada majlis itu, Mohamad menyampaikan PJM kepada 70 veteran PV-ATM Negeri Sembilan.

Tags / Kata Kunci: Akta Hasutan , Mohamad Hasan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan