Belia Sabah Berdepan Risiko Jadi Hamba Kepada Pendatang - Masidi

Diterbitkan: Ahad, 19 Oktober 2014 2:52 PM

Masidi Manjun.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Golongan belia di Sabah berdepan risiko menjadi hamba kepada pendatang di negeri sendiri sekiranya kadar kebergantungan terhadap pekerja asing terus meningkat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, rakyat pada hari ini belum bersedia untuk membangunkan tanah sendiri atau perniagaan, sebaliknya memilih untuk mengupah warga asing untuk melakukan kerja tersebut.

Sebagai contoh, Masidi berkata kebanyakan mereka yang bercucuk tanam dan menuai di kampung halamannya di Ranau adalah orang Timor-Leste.

"Kita tidak pernah melihat mereka beberapa tahun dahulu kerana setiap ahli keluarga akan membantu melakukan aktiviti tersebut sesama sendiri," katanya selepas merasmikan aktiviti anjuran Biro Tata Negara di Kundasang pada Sabtu.

Namun, Masidi berkata, situasi sekarang berbeza kerana golongan belia pada hari ini tidak mahu melakukan pekerjaan seperti itu.

"Jika pemikiran dan amalan seperti itu berterusan, saya takut kita akan menjadi hamba kepada pendatang di negeri sendiri," katanya.

Masidi berkata, dianggarkan kira-kira 400,000 pekerja asing di negeri itu dan kebanyakan mereka mahir di bidang pekerjaan masing-masing.

"Kebanyakan mereka memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya kita miliki dan ini kerana golongan kita lebih memilih dan hanya mahukan pekerjaan yang selesa," katanya.

Tags / Kata Kunci: Masidi Manjun , Sabah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan