579 Belia Diisytihar Muflis Enam Bulan Pertama Tahun Ini

Diterbitkan: Ahad, 19 Oktober 2014 6:00 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Kadar belia berumur 25 tahun ke bawah yang diisytiharkan bankrap di negara ini semakin membimbangkan apabila sebanyak 579 individu direkodkan muflis dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding keseluruhan 208 individu pada tahun lepas dan 130 individu pada tahun sebelumnya.

"Jumlah 579 individu berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 12,381 individu yang diisytiharkan bankrap di negara ini bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya pada program 'Memperkasa Informasi Generasi Muda' anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan Jabatan Perdana Menteri, di sini, Ahad.

Nancy berkata, bagi belia berumur 25 hingga 34 tahun pula, sebanyak 2,491 individu diisytihar bankrap bagi tempoh Januari hingga Jun ini manakala belia berumur 35 tahun hingga 44 tahun pula adalah 4,121 individu.

Beliau berkata, kebanyakan punca individu berkenaan mengalami bankrap adalah disebabkan kegagalan membayar balik pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi dan bayaran kad kredit.

Nancy berkata, kerajaan menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) ada menganjurkan program kepada masyarakat khususnya belia untuk menguruskan wang dengan bijak sekali gus mendidik mereka menangani bankrap.

Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana individu mahupun belia disaran supaya mendapatkan nasihat agensi berkenaan ataupun bantuan awal sekiranya diisytihar bankrap.

"Berdasarkan maklum balas penganjuran beberapa program sebelum ini, kita dapati kebanyakan belia tidak mempunyai kesedaran tentang perkhidmatan dan bantuan oleh kerajaan sehingga menyebabkan mereka bankrap pada usia muda.

"Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya mereka tampil ke AKPK atau MdI dan dengan mengambil tindakan awal, mereka juga sekurang-kurangnya tidak mengalami masalah dihalang ketika hendak ke luar negara," katanya.

Sementara itu, mengenai penganjuran program 'Memperkasa Informasi Generasi Muda' tersebut, Nancy berkata, ia amat wajar dalam menyalurkan maklumat usaha dan kemudahan yang disediakan kerajaan dengan tepat kepada belia.

Menurutnya, ilmu yang diperoleh daripada program itu dapat menangkis penyebaran maklumat tidak sahih yang diperoleh masyarakat lebih-lebih lagi pada zaman penggunaan media sosial yang semakin meluas ketika ini.

Tags / Kata Kunci: Nancy Shukri , belia , muflis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan