SPR Disaran Denda Adun, Ahli Parlimen Sengaja Letak Jawatan

Diterbitkan: Sabtu, 18 Oktober 2014 2:16 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pemuda Gerakan pada Sabtu mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenakan denda kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Anggota Parlimen (MP) yang sengaja meletak jawatan tanpa sebab munasabah.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkata hukuman itu dilihat perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini tidak disalah guna untuk kepentingan peribadi individu atau mana-mana parti politik.

"Selain denda, SPR juga perlu mengambil kira cadangan melarang mana-mana parti politik yang mana wakil mereka sengaja meletakkan jawatan tanpa alasan yang munasabah daripada bertanding di kerusi yang terlibat selama lima tahun.

"Mengikut undang-undang sedia ada, hanya wakil rakyat yang sengaja meletak jawatan sahaja dilarang bertanding selama lima tahun," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda Nasional Ke-27 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini, Sabtu.

Dalam cadangannya, Tan menjelaskan Adun yang meletak jawatan secara sengaja perlu didenda RM100,000 manakala sebanyak RM200,000 bagi MP kecuali peletakan jawatan itu disebabkan penyakit atau mereka tidak dapat menjalankan tugas seperti sepatutnya.

Jelas beliau, tindakan Adun atau MP meletakkan jawatan tanpa sebab kukuh dilihat memberi kesan kepada masyarakat dalam usaha memelihara kesejahteraan rakyat di sesebuah kawasan sehinggalah kepada kerugian pengunaan sumber kewangan negara.

"Setiap pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan dianggar menelan perbelanjaan kira-kira RM1.5 juta hingga RM2 juta.

"Malah kalau dilihat PRK seperti di Permatang Pauh pada tahun 2008, Penanti (2009) dan Kajang pada Mac tahun ini menyaksikan hampir RM5 juta wang rakyat digunakan untuk tujuan itu," katanya.

Jelas Tan, peletakan jawatan tanpa sebab oleh Adun atau MP dilihat sebagai satu amalan yang biasa dilakukan PKR demi kepentingan politik dalaman mereka seperti tindakan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan anggota Parlimen Permatang Pauh pada 2008 semata-mata untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi berkenaan.

Tan turut mencadangkan supaya undang-undang baharu digubal bagi melarang parti politik menggunakan agama sebagai modal berpolitik selain meminta perkara berkenaan dimasukkan sebagai fokus dalam cadangan mewujudkan Akta Keharmonian Nasional.


Tags / Kata Kunci: SPR , Gerakan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan