Rasuah: Hishammuddin Janji Tidak Lindungi Adik Jika Disahkan Bersalah

Diterbitkan: Khamis, 16 Oktober 2014 3:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan tidak akan melindungi adiknya, Datuk Haris Onn iaitu pemilik syarikat Lembah Sari Sdn Bhd jika didapati terlibat dengan unsur rasuah untuk mendapatkan kontrak bernilai RM77 juta.

Menurut Menteri Pertahanan itu, sebaliknya pihak berkuasa perlu membuktikan jika wujud unsur salah guna kuasa berhubung penerimaan kontrak mencetak label keselamatan rokok dan minuman keras oleh syarikat milik adiknya.

"Saya tidak akan mempertahankannya jika dia salah.

"Biar dia jawab. Dia takkan dapat perlindungan daripada saya," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen pada Khamis.

Selain itu Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno turut menafikan terlibat membantu Haris mendapatkan kontrak berkenaan seperti yang didakwa pembangkang.

Mengakui tidak mengetahui bahawa adiknya memperoleh kontrak berkenaan, Hishammuddin meminta Haris menjelaskan sendiri mengenai isu tersebut.

"Saya tidak tahu dan tidak ada kaitan dengan apa yang adik saya lakukan.

"Jika ada perkara yang tidak kena, saya minta dia jawab," katanya.

DAP sebelum ini mempersoalkan kewajaran adik kepada menteri kanan itu menerima kontrak mencetak label keselamatan rokok dan minuman keras bernilai RM77 juta.

The Edge pada 12 September melaporkan, Lembah Sari yang menjalankan perniagaan dakwat keselamatan mengambil alih konsesi percetakan label keselamatan daripada Kod Efisien Sdn Bhd pada 2006.


Tags / Kata Kunci: Rasuah , Hishammuddin Tun Hussein , Haris Onn

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan