Pelekat Warna Berbeza Untuk Barangan Dikecualikan GST Dipertimbang - Hasan

Diterbitkan: Khamis, 16 Oktober 2014 7:04 PM

Hasan Malek.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk melabelkan barangan yang diberi pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan pelekat warna berbeza untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, penggunaan pelekat berwarna pada barangan yang tidak dikenakan GST dapat mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Ini satu cadangan yang baik. Kita akan bincang bagaimana pelaksanaannya dan akan mengumumkan (hasil) pada masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas melawat premis perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, Khamis.

Ketika membentangkan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan lebih 900 barang yang berada dalam 'basket of goods' tidak dikenakan GST. Senarai barang berkaitan GST itu diwartakan pada Isnin.

GST akan dilaksanakan pada 1 April tahun depan dan antara yang akan dikecualikan CBP adalah diesel, gas petroleum cecair, semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport, roti putih dan roti tepung gandum penuh serta beberapa produk makanan seperti serbuk kopi dan teh, mi kuning, laksa dan bihun. 

Penggunaan pelekat tanda harga berwarna telah lama dilaksanakan bagi barang kawalan pada musim perayaan.  

Tags / Kata Kunci: GST , Hasan Malek

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan