Kerajaan Sentiasa Pantau Fahaman Militan, Ekstremisme Dalam Negara - PM

Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 9:06 PM

Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan sentiasa memantau dengan teliti fahaman militan dan ekstremisme dalam negara yang melibatkan apa jua label, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti militan di Syria dan Iraq dan juga dengan kumpulan Negara Islam (IS).

"Dan sebagaimana kita ketahui tindakan penahanan telah diambil, bererti kita amat serius dalam hal ini.

"Dan kita tak teragak-agak untuk ambil tindakan secara berterusan," katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, Selasa.

Najib berkata demikan ketika diminta mengulas sama ada rakyat Malaysia perlu mengambil berat mengenai hal keselamatan mereka, ekoran penahanan rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dengan kegiatan militan.

Terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu Negara Islam (IS), Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham, dan lazimnya mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran dan 'jihad' semasa 'mengumpan' golongan sasaran. 

Sehingga kini, 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan, manakala 23 individu lagi ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan militan. 

Namun begitu, Perdana Menteri berkata pemantauan rapi itu tidak bermakna risiko terhadap sesuatu kejadian keganasan adalah tinggi dalam negara.

"Tidak...tetapi kita mesti berwaspada dan memantau secara berterusan dan perkara ini sedang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia," katanya.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , IS , militan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan