Harga Barang Jenama 1Malaysia Kekal Sejak KR1M Diwujudkan - Berita Semasa | mStar

Harga Barang Jenama 1Malaysia Kekal Sejak KR1M Diwujudkan

Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 3:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Harga barang keperluan isi rumah jenama 1Malaysia tidak pernah dinaikkan sejak Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diwujudkan pada 2011, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.


Menurutnya, setakat ini, KR1M menawarkan sebanyak 378 pilihan barang berkualiti dengan harga sehingga 50 peratus lebih rendah berbanding jenama terkenal.

"Pihak yang ingin membuat perbandingan bagi barang yang sama berjenama lain perlu mempunyai persamaan spesifikasi dan bahan yang digunakan agar perbandingan yang dibuat adil bagi semua pihak," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Tian Chua (PKR-Batu) yang ingin tahu mengapa sesetengah barang 1Malaysia lebih mahal berbanding pesaing lain dengan membandingkan harga tisu Cutie Soft yang dijual di Mydin Kuala Terengganu pada harga RM6.50 dan tisu YiFa RM4.50 dengan tisu 1Malaysia yang berharga RM6.90.

Ahmad Bashah berkata, semakan harga yang dibuat oleh KPDNKK mendapati, perbandingan yang dibuat oleh Tian Chua adalah tidak tepat dan tidak memperincikan maklumat tisu yang dinyatakan.

"Tisu muka 1Malaysia (80 helai x 4 kotak) dengan harga RM3.70 dan tisu tandas 1Malaysia (200 helai x 10 gulung) berharga RM5.90. Manakala tisu Cutie Soft (200 helai x 10 gulung) berharga RM6.50 dan tisu YiFa (180 helai x 10 gulung) berharga RM4.50.

"Berdasarkan maklumat itu, harga yang dimaklumkan adalah tidak tepat dan perincian juga tidak dinyatakan," kata Ahmad Bashah.

Menjawab soalan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai pemantauan kualiti barangan KR1M, beliau berkata KPDNKK mempunyai pegawai di peringkat negeri untuk memantau operasi KR1M.

"Kementerian juga telah menubuhkan jawatankuasa bagi memastikan setiap kedai mematuhi harga ditetapkan, selain menjalankan pengauditan berkala bagi memastikan kualiti barangan terjamin," jelasnya.


   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan