Kerajaan Tetap Lindungi Hak Pendidikan Sekolah Cina - Najib

Diterbitkan: Ahad, 12 Oktober 2014 11:45 AM

Najib ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA, Ahad.

(Ubah saiz teks)

Dikemaskini

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan terus melindungi dan memelihara hak pendidikan kaum Cina di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tolong jangan bimbang tentang sekolah Cina kerana ia sudah dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

"Malah ia juga termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke 61 MCA di Wisma MCA, Ahad.



Jaminan Najib itu mendapat sambutan hangat di kalangan perwakilan yang berdiri sambil memberi tepukan gemuruh.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga meletakkan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai contoh terbaik seorang yang mampu bertutur pelbagai bahasa yang wajar menjadi ikutan.



"Liow menyampaikan keseluruhan ucapannya dalam Bahasa Malaysia.

"Dia belajar di sekolah Cina," kata Najib yang sekali lagi mendapat tepukan perwakilan.

Beberapa pemimpin MCA menganggap adalah tepat pada masanya untuk Najib memberi jaminan melindungi hak pendidikan di sekolah Cina.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad berkata, resolusi untuk menghapuskan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Umno, bulan depan.

Di kalangan pemimpin MCA, kenyataan Mohamad Azli itu disifatkan sebagai menghasut kerana ia mencetuskan rasa tidak senang di kalangan komuniti Cina di negara ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tiong Lai mengulangi pendirian parti itu untuk terus mempertahan dan membangunkan pendidikan Cina dan sekolah Cina di negara ini, termasuk melindungi hak setiap kaum yang belajar di sekolah berkenaan.

Najib dalam ucapannya juga meluluskan Pelan Transformasi MCA bawah kepemimpinan Tiong Lai untuk memberi nafas baru kepada parti yang berusia 65 tahun itu.

"Saya menyokong kepemimpinan sekarang. MCA bawah Liow sudah meraih semula hala tuju parti. Masa depan MCA bergantung sepenuhnya kepada perpaduan dalam parti," katanya.

Tiong Lai, 53 dilantik sebagai Presiden MCA Ke-12 pada Disember tahun lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan