Jerebu Rentas Sempadan Dijangka Berkurangan Minggu Depan - Berita Semasa | mStar

Jerebu Rentas Sempadan Dijangka Berkurangan Minggu Depan

Diterbitkan: Sabtu, 11 Oktober 2014 5:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kemungkinan berlaku jerebu merentas sempadan di negara ini dijangka berkurangan dengan bermulanya musim peralihan monsun pertengahan bulan ini.


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel berkata, ia seterusnya menjurus kepada Monsun Timur Laut yang membawa cuaca lebih lembap dan perubahan arah angin.

Beliau berkata kemerosotan status kualiti udara di beberapa kawasan di utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia sejak semalam berpunca daripada pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

"Ini berikutan angin Monsun Barat Daya yang bertiup ke Pantai Barat Semenanjung," katanya dalam kenyataan, Sabtu.

Palanivel berkata, susulan itu, ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Kementerian Alam Sekitar Indonesia semalam bagi mengulangi kebimbangan dan rasa tidak puas hati Malaysia terhadap peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan.

"Dalam hal ini, Malaysia turut menggesa pihak Indonesia segera melaksanakan tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah dan hutan secara meluas dan efektif," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka dengan sengaja atau untuk tujuan tertentu.

Tags / Kata Kunci: jerebu , Monsun Timur Laut , monsun peralihan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan