Bajet 2015 Untuk Rakyat - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2014 4:28 PM

Najib ketika membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat, Parlimen di Kuala Lumpur, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Mendengar denyutan nadi rakyat berhubung keluhan kenaikan kos sara hidup, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat membentangkan Bajet 2015 yang memberi fokus kepada meringankan beban mereka, seiring dengan usaha memajukan ekonomi negara.

Ketika membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat pada Jumaat, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan kali ini menitikberatkan keseimbangan antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

"Ekonomi Keperluan Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Barulah nanti, apabila kita mencapai status negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini, Insya-Allah," katanya.

Ekonomi yang berorientasikan rakyat itu merujuk kepada kepentingan rakyat bukan sahaja dari segi kos sara hidup, pendapatan isi rumah tetapi juga merangkumi peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan.

Sebanyak RM273.9 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2015 yang meliputi RM223.4 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Bagi memulakan usaha membantu rakyat, Najib menarik perhatian kepada cadangan kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan individu antara satu hingga tiga mata peratusan, menjadikan 300,000 orang tidak lagi perlu membayar cukai bagi tahun taksiran 2015.

Selain itu, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan juga tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang bakal dilaksanakan April tahun depan tidak membebankan rakyat kerana mereka yang menggunakan petrol RON95, diesel dan LPG bakal menikmati pelepasan cukai itu.

Berbeza dengan tanggapan kononnya CBP akan menyebabkan kenaikan harga semua barang, Bajet 2015 mencadangkan lebih separuh daripada 944 barang dan perkhidmatan diberi penurunan harga sehingga 4.1 peratus apabila cukai itu dilaksanakan.

Antaranya ialah ubat-ubatan, barangan elektrik, produk tekstil, barangan plastik, perabot, lampin bayi dan bahan makanan seperti beras, daging, telur ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.


Tags / Kata Kunci: Bajet 2015

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan