Lapan Sekolah Ditutup Akibat Banjir Di Sabah

Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2014 4:14 PM

Beberapa buah kenderaan ditenggelami air selepas hujan berterusan yang melanda sekitar Kota Kinabalu. Akibat banjir tersebut seramai kira-kira 3,400 murid terjejas akibat banjir di sekitar Kota Kinabalu, Papar, Penampang dan Kota Belud. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,972 murid dan 176 guru terjejas banjir yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di empat daerah di Sabah yang ditutup ekoran hujan berterusan sejak awal pagi Khamis.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Jame Alip berkata sekolah yang terletak di Kota Kinabalu, Papar, Kota Belud dan Beaufort ditutup disebabkan kawasan sekolah ditenggelami air dan tanah runtuh di laluan jalan masuk ke sekolah.

"Kota Kinabalu melibatkan empat buah sekolah iaitu SK St Catherine, SK Gudon, SK Rampayan dan SK Natai; SK Sumbiling di Papar dan SK Menunggui, Kota Belud manakala di Beaufort, SK Tamalang dan SK Lembah Poring," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis dialog dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, di Wisma Pendidikan Likas dekat sini Jumaat.

Jame berkata dua buah sekolah iaitu SK Tudan di Kiulu dan SK St Anthony di Penampang turut terjejas akibat tanah runtuh awal pagi tadi, bagaimanapun tidak melibatkan pelajar dan guru. 

Katanya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diminta menghantar laporan kepada Jabatan Pendidikan selewat-lewatnya hari ini bagi permohonan peruntukan Kementerian Pendidikan untuk membina kawasan sementara di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Jame berkata skrip jawapan bagi peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di tiga buah sekolah iaitu SK Semayan dan SK Balambangan di Pulau Bangi serta SK Pulau Mantanani di Kota Belud masih berada di sekolah itu berikutan keadaan laut yang bergelora menyukarkan proses penghantaran.

Beliau berkata semua calon telah selesai menduduki peperiksaan dan skrip jawapan akan dihantar apabila keadaan cuaca mengizinkan.

Mengenai kemalangan yang melibatkan kenderaan pegawas peperiksaan yang menghantar skrip jawapan UPSR dari SK Magandai Kota Marudu semalam, katanya kesemua mereka dilaporkan selamat, dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Kota Marudu.

Jame berkata kemalangan itu berlaku selepas pengawas dari sekolah itu menghantar skrip jawapan ke bilik kebal, Kota Marudu selepas peperiksaan berakhir.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Serina Sauni berkata pihaknya mencadangkan satu Persidangan 1Borneo diadakan bagi kedua-dua negeri kerana mempunyai faktor persamaan dari segi cabaran, isu, geografi dan budaya dalam pendidikan.

Katanya ia merupakan platform untuk mengadakan perbincangan secara profesional.

Tags / Kata Kunci: banjir , banjir Sabah , Datuk Jame Alip

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan