Bajet 2015: Peruntukan RM56 Bilion Untuk Kementerian Pendidikan

Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2014 5:14 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM56 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran pada tahun hadapan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengam penekanan kepada pemantapan sekolah yang memerlukan bimbingan dan bantuan khusus. 

Beliau berkata, ia merangkumi peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TEVT) untuk meningkatkan pengambilan pelajar memandangkan permohonan diterima jauh mengatasi kemampuan yang boleh disediakan. 

"Sebagai langkah untuk membuka lebih peluang bagi bidang ini, kerajaan bersetuju meluluskan RM100 juta dengan serta-merta kepada Kementerian Pendidikan untuk menempatkan 10,000 pelajar di kolej-kolej teknikal dan vokasional swasta.

"Di samping itu, RM50 juta juga diperuntukkan kepada Mara bagi pelaksanaan Program TEVT," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 bertema 'Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.

Najib juga memberitahu bermula tahun hadapan, syarat kemasukan am ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengkehendaki pelajar mencapai tahap minimum Band 1 dalam Malaysian University English Test (MUET) akan dipertingkatkan bagi meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi bahasa itu.

Tahap minimum baharu Band MUET untuk kemasukan bagi pengajian sastera dan sains sosial ditingkatkan kepada Band 2 (syarat graduasi ditetapkan Band 3); pengajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menjadi Band 3 (syarat graduasi Band 4); manakala Band 4 ditetapkan untuk pengajian undang-undang dan perubatan (syarat graduasi Band 5), katanya. 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi memantapkan profesionalisme perguruan dan prestasi sekolah, RM250 juta diperuntukkan untuk menjayakan program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan program Rakan Peningkatan Sekolah.

Selain itu, katanya RM800 juta diperuntukkan untuk membangunkan dan menyelenggarakan fasiliti pendidikan dalam aspek keselamatan dan persekitaran, meliputi RM450 juta kepada Sekolah Kebangsaan dan masing-masing RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, sekolah mubaligh, sekolah berasrama penuh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Sementara RM25 juta akan diberikan masing-masing kepada sekolah pondok berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau 'conforming school' yang mengguna pakai kurikulum kebangsaan, katanya.

Najib juga mengumumkan pembayaran kos bil elektrik dan air kepada semua sekolah jenis kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan dapat dibayar sepenuhnya dengan siling sebanyak RM5,000 sebulan, berbeza dengan kuota RM2,000 sebelum ini. 

Sebanyak RM10 juta pula diperuntukkan untuk memperluaskan program Sekolah Amanah yang dimulakan sejak 2011, dengan membina 20 lagi buah sekolah serupa di Johor, Sarawak, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta 12 buah sekolah baharu meliputi tujuh sekolah rendah, tiga sekolah menengah dan dua sekolah berasrama penuh, katanya. 

Perdana Menteri berkata, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan bagi tujuan penajaan pelajaran, meliputi RM1.9 bilion melalui tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan (RM759 juta) dan Kementerian Kesihatan (RM258 juta).

Katanya, sebanyak RM112 juta diperuntukkan untuk meneruskan Program MyBrain15, manakala RM540 juta untuk bantuan persekolahan berjumlah RM100 seorang kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dan RM325 juta untuk pelaksanaan Program Baucar Buku 1Malaysia kepada kira-kira 1.3 juta pelajar.

Untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, Najib berkata, Talent Corp akan menyediakan RM30 juta bagi program Kerjasama Industri Akademik melibatkan penambahbaikan kurikulum dan program latihan kemahiran melalui kerjasama universiti, entiti kerajaan dan industri.

Bagi menggalakkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan mencadangkan rebat 10 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat bayaran balik secara berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015, manakala mereka yang membuat penyelesaian secara sekali gus bermula 10 Oktober 2014 hingga 21 Mac 2015 diberikan diskaun 20 peratus, katanya.

Tags / Kata Kunci: Bajet 2015 , Kementerian Pendidikan

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan