Bajet 2015: Cuepacs Tak Puas Hati

Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2014 8:07 PM

Azih Muda

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bajet 2015 secara keseluruhannya tidak menceriakan penjawat awam, demikian kata Presiden Cuepacs, Azih Muda.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah 'bunga-bunga' sahaja tanpa memberikan satu gambaran jelas khususnya kepada penjawat awam.

"Cuepacs tidak berpuas hati kerana tiada pengumuman tentang semakan gaji atau kenaikan gaji penjawat awam yang mempunyai gaji statik.

"Penjawat awam tidak seperti ahli perniagaan yang mana pendapatan mereka berubah-ubah.

"Ketiadaan semakan gaji atau kenaikan menyebabkan penjawat awam tertekan dan tidak dapat mengekang kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, katanya, dari segi bonus, Cuepacs berterima kasih dengan bonus gaji setengah bulan, tetapi ia bukanlah seperti yang diharapkan iaitu bonus dua bulan.

"Walaupun dari segi indeks pencapaian antarabangsa menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan baik, tetapi inikah pengiktirafan yang diterima penjawat awam, sedangkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia boleh dinaikkan," katanya yang menganggap pencapaian ini tidak setanding dengan gaji.

Azih berkata, keputusan kerajaan menghapuskan wang proses pinjaman perumahan, peningkatan pinjaman perumahan dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam tetap dihargai.

Menerusi pembentangan Bajet 2015, selain pengumuman berkaitan bonus, kerajaan memberi perhatian berkaitan pembiayaan memiliki rumah di kalangan penjawat awam dengan menaikkan had kelayakan minimum pinjaman kepada RM120,000 berbanding RM80,000 sebelum ini, manakala had kelayakan maksimum dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000.

Selain itu, pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M akan ditingkatkan dengan meluluskan sebanyak 10,639 unit rumah, juga menurunkan harga minimum rumah PPA1M kepada RM90,000 berbanding RM150,000 seunit sebelum ini serta menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM8,000 kepada RM10,000.

Tags / Kata Kunci: Cuepacs , gaji , Bajet 2015

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan