170,000 Peminjam PTPTN Berpeluang Bincang

Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 3:24 PM

Idris menyampaikan Anugerah "The World's Most Influential Scientific Minds 2014" kepada Prof Dr Bassim H.Hameed dari USM (kiri). Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof.Dr.Roziah Omar (kanan) and Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (dua dari kiri) di Dewan Za'ba, Putrajaya.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sebanyak 170,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), diberi peluang berbincang mengenai kaedah pembayaran balik sebelum nama disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).


Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, selama ini, PTPTN amat fleksible namun ada yang mengambil kesempatan dengan langsung tidak membuat pembayaran.

"Bila kita umum pelaksanaan langkah itu nanti, kita akan beri tempoh tiga bulan untuk peminjam berbincang dan seterusnya membuat bayaran sebelum nama disenaraikan dalam CCRIS.

"Kita ada maklumat peminjam dan tahu ada di antara mereka bergaji lumayan tetapi langsung tidak datang ke PTPTN dalam tempoh tiga tahun untuk berbincang mahupun membuat sebarang bayaran," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan akhbar hari ini mengenai langkah PTPTN untuk mengambil tindakan lebih tegas dalam usaha mengutip semula pinjaman dengan menyenaraikan peminjam tegar dalam CCRIS.

Menurut laporan itu, pada peringkat permulaan CCRIS akan dikenakan terhadap 170,000 peminjam tegar yang langsung tidak menjelaskan pinjaman berjumlah RM1.2 bilion sejak 1998 hingga 2010.

Idris menegaskan bahawa PTPTN sedia berunding untuk mencari jalan penyelesaian dan berbincang mengenai bayaran mengikut kemampuan peminjam sebelum sebarang tindakan tegas diambil.

Terdahulu Idris menyampaikan geran program Malaysia Laboratories for Academia-Business Collaboration (myLAB), penyerahan watikah program Higher Institution Centre of Excellence (HICoe) dan pengiktirafan penyelidik cemerlang di Kementerian Pendidikan di sini.

Tags / Kata Kunci: PTPTN , Datuk Seri Idris Jusoh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan