Demo Bantah GST, Kenaikan Bahan Api Di Luar Parlimen

Diterbitkan: Rabu, 8 Oktober 2014 1:24 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bantah dengan kenaikan harga petrol dan diesel sejak 1 Oktober lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan di perkarangan bangunan Parlimen pada Rabu.

Kumpulan berkenaan juga pada masa sama turut menjadikan perhimpunan itu sebagai platform membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bermula 1 April tahun depan.

Hadir membawa pelbagai sepanduk dan kain rentang bertulis "Kembalikan Wang Saku Anak-Anak Kami", "No GST", dan "Saya Bantah GST", kumpulan itu turut menyanyikan lagu khusus membantah kenaikan minyak dan pengenalan GST.

Bagaikan 'berpesta', kumpulan itu bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kawasan bangunan Parlimen.

Sebaliknya hanya tujuh wakil kumpulan itu dibenarkan masuk bagi menyerahkan memorandum kepada beberapa Ahli Parlimen.

Wakil Ahli Parlimen pembangkang yang hadir menerima memorandum tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa serta beberapa lagi ahli Parlimen lain.

Kumpulan itu juga turut menyerahkan memorandum yang sama kepada wakil kerajaan iaitu pegawai khas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Zain Zainal dan wakil Kelab Kumpulan Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Kolonel Omar Daud.

Melalui memorandum itu, kumpulan berkenaan menuntut agar kerajaan membatalkan pengurangan subsidi minyak yang mengakibatkan kenaikan harga barangan.

Selain itu, mereka turut menuntut kerajaan menghentikan rancangan untuk melaksanakan GST dan mengadakan referendum bagi mendapatkan pandangan daripada rakyat.

Tags / Kata Kunci: GST , kenaikan bahan api

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan