Kerajaan P.Pinang Tak Akan Pecat Iszuree Sehingga Perbincangan Dibuat

Diterbitkan: Rabu, 8 Oktober 2014 4:43 PM

Iszuree Ibrahim

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan melaksanakan keputusan untuk memecat Anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Iszuree Ibrahim sehingga perbincangan diadakan bersama beberapa pihak termasuk Anggota Majlis MPPP. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang hari ini mengambil ketetapan untuk mengekalkan Iszuree sebagai Anggota Majlis MPPP. 

Namun, Iszuree yang juga Bendahari PAS negeri itu digugurkan daripada menganggotai mana-mana jawatankuasa kecil MPPP dan peruntukan beliau dibekukan dan disalur kepada Anggota Majlis daripada PAS, Mohd Nasir Yahya, serta diurus oleh Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, kata Dr Afif.

"Kerajaan negeri menghargai usaha Badan Perhubungan PAS negeri diketuai (Timbalan Pesuruhjaya) PAS negeri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang hadir bertemu Ketua Menteri Lim Guan Eng pada 2 Oktober lepas, disertai oleh beberapa pimpinan PAS Pulau Pinang. 

"Malang sekali, dalam pertemuan itu Iszuree telah gagal hadir dan bersemuka. Pandangan dan penjelasan kerajaan negeri dan PAS Pulau Pinang dikongsi ketika pertemuan ini. 

"Ini membuktikan tidak timbul isu mengenai hubungan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang seperti yang digembar-gemburkan oleh media pro Barisan Nasional," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu. 

Dr Afif berkata mesyuarat Anggota Majlis Kerajaan Negeri pada 1 Oktober lepas telah mengambil keputusan untuk memecat Iszuree daripada jawatannya atas kesalahan memfitnah kerajaan negeri dan melanggar etika profesionalisme. 

Beliau berkata kenyataan Iszuree dalam Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor pada 28 September lepas berhubung isu perumahan adalah fitnah dan bercanggah dengan polisi sebenar kerajaan negeri dan MPPP. 

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan komen Iszuree berhubung keputusan kerajaan negeri itu gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan.
Tags / Kata Kunci: MPPP , Iszuree Ibrahim , Dr Afif Bahardin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan