Penyiasat Antarabangsa Dijangka Masuk Ke Lokasi Nahas MH17 April 2015 - KPN

Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2014 11:52 PM

Tan Sri Khalid Abu Bakar

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat antarabangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dijangka masuk semula ke lokasi kejadian pada musim bunga iaitu April tahun depan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata perkara itu telah diputuskan pasukan penyiasat tiga negara iaitu Malaysia, Belanda dan Australia berikutan siasatan dihentikan akibat musim sejuk yang sedang melanda timur Ukraine ketika ini selain pergolakan yang masih berterusan di sana.

"Pertempuran di sana masih berlaku, terbaru saya difahamkan pagi tadi berlaku kejadian tembak-menembak antara kumpulan pemisah dan pihak berkuasa Ukraine di lapangan terbang di Donetsk, Ukraine," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Bukit Aman di sini, Selasa.

Terdahulu, Khalid menyaksikan majlis serah terima tugas antara Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC Datuk Amer Awal kepada Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am KDNKA, DCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim yang dilantik sebagai Pengarah KDNKA yang baharu dengan memangku pangkat Senior DCP.

Amer kini memegang jawatan Timbalan Pengarah Kepolisan Am Jabatan KDNKA Bukit Aman.

Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) DCP Datuk Wan Ahmad Najmudin Mohd pula menyerahkan tugas kepada Ketua Polis Perak sebelum ini Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai Pengarah JPJKK Bukit Aman yang baharu dengan pangkat Pesuruhjaya Polis (CP).

Khalid berkata pasukan penyiasat tragedi MH17 akan menumpukan kepada lokasi baharu di kawasan nahas pesawat itu membabitkan sebuah ladang ternakan yang terdapat serpihan pesawat yang terbakar.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihaknya akan menahan rakyat Malaysia yang merancang untuk menyertai 'Islamic State' (IS) di Syria dan Iraq kerana perbuatan itu salah di sisi undang-undang.

Beliau berkata mereka yang terbabit boleh ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) di bawah .

"Kepada mereka yang merancang untuk pergi ke Iraq dan Syria walaupun melalui negara ketiga, kita telah memperoleh butir-butir mereka ini dan telah berkongsi dengan Interpol dan Aseanapol," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga rakyat Malaysia telah ditahan polis di Lapangan Terbang KL (KLIA) kerana disyaki merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai perjuangan IS.
Tags / Kata Kunci: MH17 , lokasi nahas , penyiasat antarabangsa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan