Gaji RM2,500 Cukup Jika Urus Kewangan Dengan Baik - Pakar

Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2014 4:35 PM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gaji permulaan RM2,500, yang diterima oleh siswazah yang baru memasuki alam pekerjaan, adalah mencukupi jika mengamalkan pengurusan wang yang bijak selain tabiat mengukur baju di badan sendiri.

Pakar ekonomi dan pengurusan kewangan berkata purata gaji permulaan itu adalah munasabah memandangkan mereka tidak mempunyai kemahiran dan pihak majikan 'mengambil risiko' dengan menggaji mereka. 

Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Mohd Adnan Anan Abdullah berkata isu gaji bergantung kepada individu dan mereka yang boros tidak akan merasakan cukup meskipun angka yang diterima setiap bulan itu besar. 

"Cukup atau tidak gaji bergantung kepada profil individu. Di Kuala Lumpur, mungkin sukar jika sering makan di luar kerana sehari pun, dalam tidak sedar boleh mencecah RM30, belum lagi jika ada tabiat seperti merokok", katanya semasa dihubungi Bernama di sini. 

Selain itu, beliau berkata mereka yang baru memasuki alam pekerjaan tidak seharusnya tergesa-gesa membeli kereta sedangkan kewangan masih belum kukuh.

YANG BARU BERIJAZAH MENGELUH 

"Memiliki kereta sendiri pada usia muda memang 'cool' tetapi perlu ingat bahawa kereta datang dengan pakej minyak, tol dan parking selain bayaran penyelenggaraan serta cukai dan insurans tahunan yang agak tinggi", katanya. 

Tinjauan ke atas pencari kerja atas talian "Jobstreet" baru-baru ini mendapati mereka yang baru menerima ijazah berpendapat purata RM2,500 adalah tidak mencukupi dan 77 peratus daripada 2,062 responden menyatakan tidak berpeluang menabung selepas berbelanja untuk kepentingan asas. 

Sementara 60 peratus responden menjangkakan gaji pekerjaan pertama sebanyak RM3,500, sebanyak 30 peratus menjangkakan RM6,500 manakala 66 peratus majikan memaklumkan kesediaan menawarkan gaji antara RM2,500-RM2,800 bergantung kepada kelayakan. 

Mohd Adnan seterusnya menyanggah kenyataan gaji RM2,500 tidak mencukupi untuk menabung memandangkan petua kewangan menyatakan 'seseorang yang menyimpan 10 peratus daripada gaji setiap bulan menuju ke laluan yang tepat'. 

"Petua itu macam mudah, tetapi memerlukan disiplin kuat dan disarankan disimpan secara terus, sama ada dalam amanah saham atau bank berbeza, kerana menjadi tabiat untuk kita mudah berbelanja, selagi ada 'balance' dalam bank", katanya. 
PERLU BERSIKAP POSITIF

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata gaji permulaan itu adalah berpatutan memandangkan mereka yang baru menerima ijazah tidak memiliki pengalaman dan majikan perlu berbelanja (membayar gaji) untuk 'mengajar' mereka. 

"Mereka perlu sedar dalam pasaran sekarang permintaan (kerja) adalah sangat sedikit berbanding penawaran (siswazah) dan jika terlalu memilih dalam isu gaji, mereka mungkin tidak akan mendapat kerja.

"Jadi ambil sikap positif dan anggap pekerjaan pertama sebagai tempat untuk menimba ilmu, dan bila dah mahir boleh 'test market' di tempat lain. Tak ada undang-undang yang kata perlu setia kepada satu syarikat sahaja", katanya. 

Shamsuddin menambah kata jika mereka ini menunjukkan prestasi yang cemerlang, selain didapati mempunyai kemahiran tambahan seperti keupayaan komunikasi yang baik, tidak mustahil jika majikan itu sendiri akan menaikkan gaji dalam masa terdekat. 

"Sebagai majikan kita sedar jika pekerja bagus tidak 'diikat' dengan baik, ada kemungkinan beliau mudah 'berhijrah' ke tempat lain bila ada peluang", katanya. 
ANGGAP SEBAGAI MENJALANI PRAKTIKAL 

Pandangan sama turut disokong pensyarah ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Dr Shazali Abu Mansor dan menambah siswazah baharu seharusnya bersikap seperti 'masih menjalani latihan praktikal' pada awal alam pekerjaan. 

"Kata kuncinya ialah sabar. Jika semasa praktikal boleh menaiki bas, mengapa semasa kerja tidak boleh berbuat demikian? Jangan beranggapan bila sudah kerja, kena terus tinggalkan sama sekali gaya hidup pelajar", katanya. 

Beliau juga berpendapat penyedia bantuan kewangan pendidikan boleh membantu 'memberi kelegaan' kepada mereka ini dengan menetapkan pinjaman mula dibayar selepas dua tahun bekerja, bagi menunggu kenaikan gaji. 

Anggota Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara Profesor Dr Samsinar Md Sidin pula berkata golongan pekerja muda perlu bijak dalam keputusan perbelanjaan, terutama mereka yang tinggal di bandar. 

"Ada kalanya lebih baik menyewa bilik berhampiran tempat kerja, walaupun agak mahal berbanding berulang-alik dari tempat yang jauh, selain merugikan masa dan tenaga", katanya. 

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) menambah bahawa ibu bapa boleh membantu dari segi kewangan pada peringkat awal permulaan.

"Ada antara mereka yang baru menerima ijazah melakukan kerja sambilan termasuk secara dalam talian memandangkan kemudahan itu sedia ada, namun penting untuk mereka pastikan prestasi kerja utama tidak terjejas. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran", katanya. 

Tags / Kata Kunci: gaji , RM2 , 500 , siswazah

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan