143 Kematian Akibat Denggi Sehingga September

Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2014 4:18 PM

S Subramaniam

Datuk Seri Dr S. Subramaniam

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata 143 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh sembilan bulan tahun ini.

Beliau berkata bagi tempoh itu sebanyak 74,335 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 43,346 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan ia merupakan jumlah kes serta kematian tertinggi berbanding yang dicatatkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim, Bandar Baharu) yang ingin tahu jumlah mangsa serta kes kematian terkini akibat denggi pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Subramaniam berkata sebanyak 92 kematian dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

"Bagi menangani situasi denggi di negara ini, kementerian melaksanakan pelan tindakan khas untuk pencegahan dan kawalan denggi iaitu Pelan Tindakan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi 2014 yang telah dilaksanakan bermula 14 Julai lepas.

"Pelan itu dilaksanakan di tiga buah negeri yang menyumbang kes tertinggi iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan serta diperluas ke Kelantan bermula 17 Ogos lepas. Pelan itu dilaksanakan dalam tempoh dua bulan di empat negeri tersebut," katanya.

Tambahnya, pelan itu merupakan tindakan bersepadu pencegahan serta kawalan denggi melibatkan Kementerian Kesihatan dan enam kementerian lain antaranya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Selain itu katanya, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu memainkan peranan penting dalam usaha menangani wabak denggi di negara ini.

Subramniam berkata antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah memastikan pengurusan sisa pepejal termasuk sisa domestik, pukal dan industri di semua negeri dilaksanakan dengan cekap.

"Ini bagi mengelakkan longgokan sampah yang banyak dan mencemari persekitaran serta boleh menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya.

Tags / Kata Kunci: denggi , Datuk Seri Dr S. Subramaniam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan