Negara Bersedih Atas Pemergian Tun Suhailah

Diterbitkan: Sabtu, 4 Oktober 2014 5:26 PM

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyiram air mawar di pusara ibunya Allahyarhamah Tun Suhailah Mohamad Noah, 82, selepas selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Sabtu. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Negara, pada Sabtu bersedih dengan pemergian ke rahmatullah Tun Suhailah Mohamad Noah, seorang tokoh wanita yang dikenali sebagai seorang isteri penyayang, ibu berdedikasi dan insan berhati mulia.

Suhailah merupakan pendorong dan nadi kekuatan kepada suaminya, perdana menteri ketiga Malaysia Tun Hussein Onn, yang mengalami serangan jantung sebanyak dua kali sepanjang hayatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei, 1990. 

Ibu penyayang dan berdedikasi itu membesarkan enam anak mereka menjadi individu berjaya, antaranya sebagai peguam termasuk Datuk Seri Hishammuddin yang menceburi politik dan kini Menteri Pertahanan, doktor dan pemimpin korporat.

Jiwa penyayang dan berbelas kasihan dalam dirinya telah mendorongnya menubuhkan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) semasa Hussein menjadi perdana menteri.

Ini dilakukan beliau dengan bantuan Tan Sri Rafidah Aziz, bekas menteri dan bekas Ketua Wanita Umno.

Menurut Rafidah: "Semasa saya menjadi presiden sebuah persatuan membantu golongan kurang upaya di Kuala Lumpur dan Selangor, saya cadangkan supaya ditubuhkan satu badan untuk bantu kanak-kanak OKU (orang kurang upaya).

"Dengan itu bolehlah isteri-isteri menteri melengkapkan kerja suami masing-masing dalam kerajaan.

"Tun Suhailah bersetuju dengan cadangan itu dan minta saya realisasikan. Dalam tempoh seminggu, tertubuhlah Bakti yang mencerminkan komitmen beliau membantu kanak-kanak yang memerlukan."

Suhailah dilahirkan pada 26 Oktober, 1931. Beliau merupakan anak kedua daripada lima beradik. Adiknya (kini Tun) Rahah ialah ibu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Suhailah membesar di Muar, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Melaka.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hussein pada Februari 1948, dan mereka dikurniakan empat anak perempuan dan dua anak lelaki iaitu Datin Roquaiya Hanim, Puan Sri Dr Suraiya Hani, Roziah Hanis, Hishammuddin, Dr Rozita Halina dan Datuk Harris Onn. 

Menurut buku 'The Three Swans', yang memaparkan kisah hidup Suhailah dan dua saudara perempuannya, kehidupan 'was a breeze' (berjalan lancar) bagi Suhailah sebagai isteri Hussein sewaktu beliau menjadi menteri dan kemudiannya timbalan perdana menteri dan akhirnya perdana menteri. 

"Beliau telah mendapat pendedahan tentang kesibukan sebagai seorang isteri ahli politik menerusi bapa mentuanya, Dato' Onn Jaafar yang aktif berpolitik.

"Beliau kekal menjadi diri sendiri, senantiasa ceria, aktif dan hos yang berbudi bahasa. 

"Semua dalam rumah Suhailah berada dalam keadaan teratur. Semuanya tersusun rapi dan semuanya diletakkan di tempat yang sesuai," menurut buku itu.

Isteri perdana menteri biasanya memegang jawatan presiden Persatuan Pandu Puteri. Suhailah mengambil alih jawatan itu daripada Rahah, yang merupakan isteri kepada perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein. 

Semasa beliau menerajui persatuan itu, Puteri Margaret dari Britain melawat Malaysia pada Mei 1980 dan mengunjungi persatuan itu.

'The Three Swans' turut menyebut Suhailah telah menubuhkan Pusat Bimbingan Kanak-kanak pada 1976 selepas lawatannya ke Iraq. 

Semasa melancarkan buku itu empat tahun lepas, Najib berkata Suhailah dan dua saudara perempuannya merupakan 'tiga wanita biasa yang menjalani kehidupan luar biasa' dan 'mencerminkan perjuangan, harapan dan aspirasi semua ibu di Malaysia'. 

Suhailah turut dikenang sebagai penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam(Pertiwi) yang komited terhadap pelaksanaan latihan dan projek pendidikan dan aktiviti secara efektif bagi pemerkasaan wanita dan kanak-kanak di negara ini.

Pertiwi pada masa kini mengendalikan program dapur jalanan untuk golongan memerlukan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan juga mengadakan pelbagai program kesihatan.

Mengimbas kenangannya bersama Suhailah, Rafidah berkata beliau seorang yang sangat peramah dan mudah mesra. 

"Beliau suka ketawa dan seronok berbual dengannya. Bila beliau mudah mesra, saya anggap seperti kakak dan kadang-kadang terlupa yang beliau adalah isteri perdana menteri," katanya.

"Bila beliau pengerusikan mesyuarat, beliau amat peramah, tak ada formaliti malah beliau juga akan minta pendapat dan nasihat," katanya sambil menambah Suhailah dihormati bagi peranannya sebagai 'Ibu Bakti'.

Suhailah dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota daripada Kerajaan Persekutuan pada 1990 yang membawa gelaran 'Tun'; dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Suhailah meninggal dunia pada pukul 12.30 malam tadi di Hospital Pakar KPJ Damansara. Allahyarham berusia 82 tahun.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara di sini. Suaminya, Allahyarham Hussein, juga disemadikan di tempat sama.

Tags / Kata Kunci: Tun Suhailah , belasungkawa

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan