Pengusaha Stesen Minyak Tidak Dapat Manfaat Pengurangan Subsidi

Diterbitkan: Khamis, 2 Oktober 2014 1:28 PM

Hashim Othman.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) tidak mendapat sebarang manfaat daripada kenaikan harga minyak berikutan pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam Rabu.

Presidennya, Datuk Hashim Othman menegaskan, tanggapan orang ramai bahawa pengusaha stesen minyak akan mendapat keuntungan akibat kenaikan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Kita tidak bersetuju dengan persepsi sebegitu. Tiada istilah keuntungan.. kami tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya (kenaikan harga)," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, kadar keuntungan (komisen) untuk setiap liter petrol (RON95, RON97) dan diesel yang dijual masih ditetapkan oleh kerajaan.

"Walaupun harga minyak naik RM10 seliter pun, kita tetap dapat komisen yang sama. Ia (komisen) sudah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak berubah," katanya.

Jelas beliau, untuk petrol RON95 dan RON97, pengusaha stesen minyak hanya mendapat komisen sebanyak 12.19 sen seliter manakala 7 sen seliter untuk diesel.

"Apa yang boleh saya katakan, pengusaha juga turut terbeban akibat kenaikan itu kerana kita terpaksa keluarkan pelaburan yang tinggi.

"Apabila harga naik, kos operasi pun akan meningkat tetapi keuntungan kita turun," katanya.

Bagaimanapun, Hashim menyokong usaha kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi minyak kerana harga minyak di negara ini jauh lebih murah sehingga mendorong kepada peningkatan kegiatan penyeludupan minyak.

"Saya sokong usaha (kerajaan) ini demi membanteras kegiatan penyeludupan minyak tetapi kerajaan perlu melakukan sesuatu agar semua pihak mendapat manfaatnya," katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu mencari kaedah yang efektif untuk mencegah penyelewengan dan penyeludupan bahan api itu dengan mengambil kira pelbagai aspek.

"Jika kaedah itu berjaya, ia satu yang positif tetapi kementerian bertanggungjawab perlu turun padang dan meneliti sedalam-dalamnya masalah dan keperluan pengusaha stesen minyak.

"Kita tidak mahu apabila dilaksanakan kelak, timbul pelbagai masalah yang perlu ditanggung pengusaha stesen minyak," katanya.

Malah, beliau turut mengalu-alukan kerajaan supaya mengadakan perjumpaan dengan pengusaha stesen minyak di seluruh negara bagi mendapatkan pandangan dan cadangan pelaksanaan terbaik agar situasi menang-menang antara kerajaan dan pengusaha dapat dicapai.







Tags / Kata Kunci: PDAM , Hashim Othman , RON95 , diesel

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan