Azmin Tidak Beku Skim Mesra Usia Emas

Diterbitkan: Khamis, 2 Oktober 2014 12:56 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Bandar Tun Razak akan diteruskan di bawah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, demikian menurut Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak, Azman Abidin pada Khamis.

"Dakwaan bahawa kerajaan negeri membekukan peruntukan itu di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang disandang bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah tidak benar.

"Bendahari negeri memberitahu wakil dari kawasan Parlimen Bandar Tun Razak bahawa Tan Sri Khalid kini merupakan wakil rakyat bebas dan bukan lagi mewakili Pakatan Rakyat.

"Sehubungan itu beliau tidak lagi layak untuk bertanggungjawab terhadap peruntukan itu," katanya.

Tambah beliau, peruntukan itu kini akan disalurkan melalui 'Adun Angkat' yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

"Sementara itu bagi DUN Pelabuhan Klang, peruntukan akan diserahkan kepada pegawai penyelaras yang akan dilantik oleh Menteri Besar tidak lama lagi," kata Azman yang juga bekas setiausaha politik Abdul Khalid.

Menurut Azman langkah berkenaan adalah perkara biasa dan menafikan dakwaan Faekah Husin bahawa kerajaan negeri membekukan peruntukan SMUE.

Pada Rabu, Faekah yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) mendakwa kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada pihak bank supaya membekukan akaun bank SMUE di Parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang.

Dakwa Faekah, arahan yang dikeluarkan  atas nama Bendahari Negeri Selangor itu dikeluarkan pada 25 September lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan