Tidak Benar BN Guna Golongan Konservatif Agama Untuk Kekal Kuasa - Khairy

Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 6:38 PM

Khairy Jamaluddin.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pandangan atau dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) menggunakan golongan konservatif agama untuk terus berkuasa adalah tidak berasas, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan apa yang dilakukan BN selaku parti yang memerintah ialah mempertahankan kedudukan dan kesucian agama serta nilai ketimuran yang tidak melanggar syariat Islam.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Pendekatan Wasatiyyah peringkat kementeriannya di sini Selasa, beliau berkata mereka yang menuduh BN berbuat sedemikian sebenarnya yang membawa suara ekstrem cauvinis dan liberal yang tidak konsisten dengan agama dan cara hidup masyarakat di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen DAP Bukit Bendera Zairil Khir Johari yang mendakwa BN menggunakan golongan konservatif agama, antara lain untuk memastikan orang Melayu terus bergantung kepada perlindungan Putrajaya melalui tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap ideologi sekular dan liberal.

Mengenai dakwaan Zairil bahawa sekularisme dan liberalisme sebenarnya falsafah yang boleh mengukuhkan Islam tetapi diberikan perspektif negatif oleh BN, Khairy menjelaskan sekuralisme jelas tidak boleh diamalkan di Malaysia kerana Islam merupakan agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau berkata amalan sekularisme bermaksud ada pemisahan antara agama dan kerajaan dan di Malaysia tidak mengamalkan perkara sedemikian.

"Kita bukan negara seperti Perancis atau Turki yang tidak disebut agama dalam perlembagaan negara mereka. Jadi, kita harus kembali kepada isu pokok dalam Perlembagaan dan kita tidak boleh lari daripada apa yang disebut di dalamnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy sekali lagi menegaskan Umno merupakan sebuah parti yang paling terbuka dalam menerima kritikan daripada kalangan anggotanya termasuk ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden parti.

"Dalam Umno, kita tak pernah halang sesiapa untuk mengkritik kepimpinan. Malah dalam mesyuarat perwakilan, dalam perhimpunan kita sentiasa beri pandangan kepada kepimpinan.

"...dan saya kenal Presiden Umno sebagai seorang yang amat terbuka sekali dan tak pernah tutup ruang untuk ahli beri teguran dan pandangan kepada beliau. Jadi, tak betul ada tanggapan bahawa dalam Umno, tidak boleh mengkritik," katanya.

Khairy mengulas pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno perlu berubah supaya pemimpinnya boleh dikritik dengan lebih berani, bukannya disokong tanpa dipersoal.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan