Silap Pengambilan Antibiotik, Timbulkan Risiko AMR

Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 7:57 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tidak semua penyakit memerlukan pengambilan antibiotik khususnya yang disebabkan virus kerana jika salah penggunaannya akan menimbulkan risiko kes 'Antimicrobial Resistance'(AMR).

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata akibat AMR, ada pesakit yang sukar sembuh selepas mengambil antibiotik tertentu kerana tubuhnya sudah imun terhadap antibiotik itu yang diambil pada ketika penyakitnya tidak memerlukan pengambilan antibiotik.

Sehubungan itu, katanya, pesakit tidak perlu mendesak doktor yang merawatnya memberikan antibiotik dan menganggap doktor itu 'tidak bagus' hanya kerana tidak memberi antibiotik.
 
"Sebagai contoh kadang-kadang kita tengok demam sedikit pun nak guna antibiotik. Tetapi saya rasa tidak perlu kerana kebanyakan demam yang kita alami ini ialah virus. Pakai antibiotik apa pun tak mujarab kerana ia ada proses semula jadi sendiri.

"Kita akan pastikan kalau tak perlu (antibiotik), kemungkinan kita bagi ubat demam, selesema atau ubat batuk sahaja dan pesakit memerlukan rehat secukupnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan mengenai Rintangan Antimikrobial 2014 di sini, Selasa.

Dr Azman berkata AMR bukan sahaja berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital, malah turut menular kepada pesakit luar yang menerima rawatan di klinik. 

Beliau meminta pengamal perubatan supaya memberikan antibiotik hanya kepada penyakit yang perlu sahaja dan mengikut peringkat yang ditetapkan.

"Kalau boleh jangan terus bagi antiobitik yang terbaharu. Guna dahulu langkah demi langkah. Kalau ini tak boleh baru kita pakai nombor dua, tiga atau 'paling kuat'," kata Dr Azman.

Sementara itu Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Datuk Dr Christopher Lee berkata tahap AMR di negara ini masih dalam keadaan terkawal berbanding negara lain, namun ia tetap perlu diberi perhatian serius. 

"Ada yang bawa maut akibat AMR ini kerana tiada ubat yang kita boleh bagi kerana antibiotik itu tidak boleh guna kerana ia sudah lali. Itu yang boleh membawa maut terutamanya di ICU kerana 'rintangan rendah'," katanya.

Beliau berkata dahulu, terdapat banyak antibiotik berbanding pada masa kini.

"Apabila antibiotik lama tidak berkesan lagi ada ubat-ubat baharu datang. Tetapi 10 tahun kebelakangan ini jumlah ubat antibiotik baharu yang mula masuk pasaran sangat kurang. Dalam masa 10 tahun lepas di Amerika Syarikat, mereka hanya ada dua antibiotik baharu," kata beliau.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Dr Salmah Bahri pula berkata jika pesakit menerima antibiotik, mereka perlu menghabiskannya dalam masa yang ditetapkan.

"Jika tidak habiskan, ini menjadikan ia satu faktor rintangan sebab ia tak dapat dos optimal untuk membunuh bakteria-bakteria itu," katanya.

Tags / Kata Kunci: Dr Azman Abu Bakar , antibiotik , AMR

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan