Keputusan Peperiksaan Percubaan SPM Bukan Untuk Kursus Jangka Panjang

Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 5:16 PM

Idris Jusoh (dua, kanan) melancarkan Sekolah SONO Pusat Perubatan Universiti Malaya-Samsung di Petaling Jaya pada Rabu. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan tidak pernah membenarkan mana-mana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menawarkan kursus jangka panjang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata keputusan peperiksaan percubaan SPM itu hanya boleh diguna untuk kursus jangka pendek seperti muzik dan Bahasa Inggeris.

"Kementerian tidak pernah halang IPTS guna keputusan peperiksaan percubaan itu untuk kursus jangka pendek," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sekolah SONO Pusat Perubatan Universiti Malaya-Samsung (UMMC-Samsung SONO School) di pusat perubatan itu di sini, Selasa.

Beliau mengulas laporan media mengenai rungutan ibu bapa berhubung tindakan kementerian yang melarang penggunaan keputusan peperiksaan percubaan SPM untuk mengikuti program pra-universiti dan asasi di IPTS bermula 2015. 

Idris berkata rasional melarang IPTS menggunakan keputusan percubaan SPM adalah untuk memastikan kursus yang ditawarkan berkualiti serta mematuhi piawaian ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Ini penting kerana kita mahukan IPTS dan kursus yang ditawarkan mempratik amalan terbaik, kerana MQA ini berkolaborasi dengan agensi berkaitan di seluruh dunia," kata Idris.

Menjelas lanjut, beliau berkata surat peringatan mengenai perkara itu telah dikeluarkan kepada semua IPTS pada 23 Mei lepas, sekali gus menafikan dakwaan segelitir pihak bahawa kementerian telah membuat keputusan secara terburu-buru berhubung isu berkenaan.

"Ia bukan kejutan atau perkara baharu kepada IPTS kerana mereka sudah tahu lebih awal dan sangat faham tentang larangan menggunakan keputusan percubaan peperiksaan SPM untuk kursus jangka panjang.

"Saya tak faham kenapa perlu ada polemik dalam isu ini," tegasnya. 

Mengenai UMMC-Samsung SONO School, Idris berkata ia merupakan satu contoh kerjasama terbaik antara pihak industri dengan universiti bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja.

"Mereka yang ada di dalam industri mempunyai lebih banyak pengetahuan berbanding pihak universiti termasuk daripada segi keperluan.

Perkembangan teknologi telah menyebabkan ada rasional universiti mencipta jalinan kerjasama dengan industri supaya tidak ketinggalan dan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa," kata menteri itu. 

Idris berharap konsep pembelajaran di universiti dapat dikaji semula dengan menekankan kepada pendekatan "dua campur dua" iaitu dua tahun pengajian di IPT dan dua tahun lagi bagi latihan dalam industri.

Ini bagi memastikan apabila pelajar menamatkan pengajian, mereka mempunyai daya saing yang relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja sama ada dalam atau luar negara, katanya.

Tags / Kata Kunci: Idris Jusoh , keputusan percubaan SPM , IPTS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan