Tawaran Istimewa MAS Sempena Ulang Tahun Ke-42

Diterbitkan: Isnin, 29 September 2014 6:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) memberi tawaran istimewa bagi penerbangan antarabangsa dan domestiknya sempena ulang tahun ke-42, sejajar janjinya untuk menyediakan tambang mampu milik kepada rakyat Malaysia.


Syarikat penerbangan itu berkata, tawaran tersebut dibuka untuk tempahan bermula Isnin hingga 3 Oktober 2014, menerusi laman webnya, pejabat tiket, ejen pelancongan yang menyertainya dan pusat panggilan. Tempoh perjalanan adalah dari 2 Oktober 2014 hingga 30 Jun 2015.

Naib Presiden Kanan Serantau MAS, Datuk Muzammil Mohamad berkata, ia merupakan komitmen MAS untuk terus menyediakan kepada pelanggannya perkhidmatan bertaraf dunia pada harga mampu milik.

"Semua orang sukakan tawaran yang baik dan sebagai penghargaan, kami menawarkan beberapa tawaran hebat kepada pelanggan untuk membeli pada masa yang terhad sahaja. Kami mempelawa pelanggan kami merebut peluang yang hebat ini bagi produk dan perkhidmatan kami," katanya.

Tambang promosi terangkum pergi dan balik syarikat penerbangan itu bermula daripada RM120 bagi perjalanan domestik Malaysia, daripada RM250 ke destinasi Asean, daripada RM800 ke China, daripada RM750 ke India, daripada RM1,000 ke Asia Utara dan daripada RM2,600 ke Eropah.

Penerbangan domestik ke Pulau Pinang dan Johor Baharu bermula daripada RM120, Kuching daripada RM260 dan Kota Kinabalu daripada RM360.

Bagi destinasi Asean, tawaran hebat itu bermula daripada RM250 ke Medan, RM350 ke Phuket, RM420 ke Jakarta atau Siem Reap, RM530 ke Bali, RM600 ke Hanoi dan RM700 ke Manila.

Tambang ke China bermula daripada RM800 ke Hong Kong, RM900 ke Kunming dan RM1,200 ke Guangzhou, manakala bagi destinasi di India, tawaran bermula daripada RM750 ke Kochi, RM1,000 ke Chennai dan Colombo dan RM1,300 ke New Delhi.

Bagi perjalanan ke Asia Utara, tambang bermula daripada RM1,000 ke Taipei dan RM1,800 ke Tokyo, manakala tambang ke Eropah bermula daripada RM2,600 ke Istanbul, RM2,790 ke Paris dan RM2,890 ke London.

MAS berkata, harga yang ditawarkan adalah bagi perjalanan Kelas Ekonomi. Tambang promosi Kelas Perniagaan juga ditawarkan daripada RM900 ke destinasi domestik dan RM11,900 ke Eropah.

Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web Malaysia Airlines di www.malaysiaairlines.com atau hubungi 1-300-88-3000.


Tags / Kata Kunci: MAS , Datuk Muzammil Mohamad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan