Proses Peletakan Senjata Pemberontak Islam Filipina Bermula

Diterbitkan: Ahad, 28 September 2014 3:38 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Proses sukar untuk melaksanakan peletakan senjata di kalangan pemberontak Islam Filipina selepas pemberontakan sejak berdekad lamanya baharu bermula, kata perunding pada Ahad.

Proses tersebut akan dilaksana sebelum hujung tahun ini.

Perunding Kerajaan Filipina dan pemberontak Islam memulakan mesyuarat di Malaysia pada Sabtu untuk membincangkan proses peletakan senjata iaitu kunci untuk menamatkan pemberontakan di selatan negara itu dan menandatangani perjanjian damai.

Kedua-dua pihak melantik tiga pakar antarabangsa dari Brunei, Turki dan Norway untuk menyelia badan bebas yang akan memantau proses penyahtauliahan itu bersama dengan empat pakar tempatan yang belum dinamakan.

"Penyahtauliahan merupakan komponen halus dan sukar dalam penyelesaian damai. Ia perlu dilakukan secara efektif dan sensitif," kata ketua perunding kerajaan Filipina, Miriam Coronel-Ferrer dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan disambung pada Isnin.

Terdahulu, Ketua perunding kumpulan pemberontak, Mohagher Iqbal berkata, kira-kira 75 jenis senjata api termasuk senapang berkuasa tinggi akan disimpan dan dikunci di dalam sebuah gudang sebagai sebahagian daripada proses normalisasi.

Ia akan menyaksikan pemberontak menjual senjata mereka untuk menyertai masyarakat lain dalam menjalani kehidupan normal.

"Peletakan senjata adalah sesuatu yang sukar tetapi anda perlu melakukan pengorbanan untuk pembentukan kerajaan Bangsamoro," kata Mohagher. 

Bangsamoro terletak di wilayah selatan Pulau Mindanao.

Presiden Filipina, Benigno Aquino III memberi jaminan bahawa kerajaan autonomi yang baharu di wilayah selatan negara ini akan ditubuhkan pada Januari tahun depan.

Penubuhan kerajaan Bangsamoro di wilayah autonomi Mindanao itu merupakan sebahagian komitmen Manila mengikut perjanjian damai yang dimeterai pada 27 Mac lalu hasil usahasama kerajaan Malaysia sebagai fasilitator.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan