Tiga Suspek Jihad Ditahan

Diterbitkan: Jumaat, 26 September 2014 7:30 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

KUALA LUMPUR: Seorang arkitek, juruteknik dan peniaga merupakan tiga suspek jihad warganegara Malaysia terbaru yang ditahan selepas negara membuat pendirian tegas dengan melabelkan Kumpulan Negara Islam (IS) sebagai 'pertubuhan pengganas'. 

Ketiga-tiga suspek ditahan ketika mereka dalam perjalanan ke Turki. Difahamkan kumpulan berkenaan juga akan ke Syria untuk menyertai IS. 

Mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman pada pukul 8.55 pagi semalam. 

Pada hari yang sama, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) telah meluluskan resolusi menggesa negara-negara lain membendung aktiviti keganasan yang semakin menular di Iraq dan Syria. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang kini berada di mesyuarat UNSC di New York, berkata Malaysia akan memperkukuhkan undang-undang sedia ada dan keupayaan memerangi keganasan. 

Sementara itu, pihak polis berkata arkitek tersebut berasal dari Pahang sementara juruteknik berkenaan dari Perlis yang mana kedua-dua mereka berusia 26 tahun.

Suspek ketiga yang merupakan pemilik kedai serbaneka, berusia 42 tahun itu dipercayai berasal dari Kelantan dan telah berkahwin serta memiliki enam orang anak. 

"Siasatan awal mendapati suspek merancang untuk menaiki pesawat untuk ke Istanbul, dan transit di Doha," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan , pada Khamis. 

"Dari Turki, mereka akan bergerak ke Syria untuk menyertai kumpulan IS  di sana."

Beliau berkata sebelum ditahan, polis telah menyerbu rumah suspek tanpa pengetahuan mereka. Dalam serbuan tersebut polis menemui bukti antara lain, bendera IS. 

"Kami percaya mereka ini diambil menjadi ahli oleh kumpulan militan Malaysia, melalui media sosial seperti Facebook. 

"Suspek juga turut mempunyai hubungan dengan seorang pejuang jihad warga Malaysia yang kini berada di Syria." 

Pihak polis kini sedang berusaha mengesan individu yang merekrut lelaki berkenaan. 

Dengan penahanan terbaru ini menjadikan jumlah militan Malaysia yang ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism kini meningkat kepada 22 orang sejak 28 April lalu. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memuji Bahagian Counter Terrorism atas kejayaan mereka menahan suspek. 

Polis kini sedang memburu lima suspek militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan IS dan Abu Sayyaf, sebuah kumpulan pengganas yang berasal dari Filipina. 

Bekas pensyarah Dr Mahmud Ahmad (yang lebih dikenali sebagai Abu Hanadzlah) dan pemilik kedai serbaneka, Mohd Najib Husen, kedua-duanya berusia 36 tahun dipercayai merupakan ketua kumpulan militan tempatan yang melatih dan menghantar ahli mereka berjuang di Syria dan Iraq. 

Sumber berkata pihak berkuasa percaya dua suspek lelaki tersebut merupakan individu yang bertanggungjawab dalam merekrut ahli baru turut menguruskan perjalanan empat orang rakyat Malaysia yang dihantar ke Syria pada 5 Mac lalu termasuk Ahmad Tarmimi Maliki, yang merupakan pakar pembuat bom pertama warga Malaysia 

Ahli ketiga yang berjaya dikenalpasti ialah bekas pekerja Majlis Perbandaran Selayang, Muhammad Joraimee Awang Raimee, yang lebih dikenali sebagai Abu Nur, 39. 

Dua lagi suspek yang dicari ialah ahli kumpulan Darul Islam Sabah, Mohd Amin Baco, 31, dan Jeknal Adil, 30, kedua-dua mereka berasal dari Tawau. 

Sumber turut mendedahkan kedua-dua lelaki berkenaan telah menjalani latihan dengan kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina sejak 2005. 

Khalid menggesa sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran atau bahagian counter terrorism di talian 03-2266 7010 atau 011-2104 6850 . Anda juga boleh menghantar e-mel kepada CTD.E8M@gmail.com.





Tags / Kata Kunci: IS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan