PAS Hilang Keistimewaan 4 Exco, PKR Ambil Alih

Diterbitkan: Jumaat, 26 September 2014 10:31 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Jumlah empat Exco kerajaan negeri Selangor yang menjadi keistimewaan PAS sebelum ini dikurangkan kepada tiga bagi diberikan kepada wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berikutan jumlah jawatan Exco yang dibahagikan kepada tiga parti Pakatan Rakyat adalah tiga kepada PAS, DAP (3) dan PKR (4).

Empat wakil rakyat PKR yang diberikan jawatan Exco ialah Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Daroyah Alwi (Sementa), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) dan Amiruddin Shari (Batu Caves), manakala DAP diwakili oleh Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) serta V. Ganabatirau (Kota Alam Shah).

PAS yang mendapat jumlah kerusi tertinggi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pula hanya diwakili oleh Iskandar Samad (Cempaka), Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Zaidy Abdul Talib (Taman Templer).

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata, beliau telah meneliti dan mengambil kira semua pandangan dari Pakatan Rakyat berhubung pelantikan Exco kerajaan Selangor.

Katanya, perbincangan tertumpu kepada usaha untuk membentuk barisan Exco yang kuat, padu dan cekap untuk terus maju ke hadapan membangunkan negeri tersebut.

"Sultan Selangor telah memperkenankan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa hari ini, 26 September 2014.

"Exco bertanggungjawab menggalas amanah ini dalam semangat dan prinsip Pakatan Rakyat yang berteraskan nilai-nilai murni seperti amanah, jujur, berintegriti, tata kelola yang baik dan peduli rakyat untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Selangor," katanya pada sidang media bagi mengumumkan perlantikan 10 Exco kerajaan Selangor yang baharu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, Jumaat.

Azmin pada petang Khamis menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan perkenan untuk perlantikan exco selaras dengan perkara LIII(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Ditanya adakah PAS bersetuju dengan kedudukan tiga Exco itu, Azmin menjawab ringkas: "Setuju."

"Ketiga-tiga mereka (Exco PAS sedang menjalankan 'rehearsal' (raptai)  bagi istiadat majlis angkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang sekarang (pagi Jumaat)."

Azmin berkata, portfolio bagi 10 exco baharu akan dibincangkan kemudian pada hujung minggu ini.

Majlis angkat sumpah bagi 10 Exco baharu akan diadakan pada pukul 3 petang Jumaat di Istana Alam Shah, Klang.

Tags / Kata Kunci: Selangor , DAP , PKR , PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan