Hutan Sebesar Keluasan Cyberjaya Diteroka

Diterbitkan: Khamis, 25 September 2014 7:30 AM

Keadaan Hutan Simpan Lesong yang ditarah.

(Ubah saiz teks)

KUALA ROMPIN: Sebuah kawasan hutan di Pahang sebesar keluasan Cyberjaya sedang ditarah berkemungkinan untuk dijadikan ladang tanaman getah.

Kira-kira 300 hektar tanah di hutan simpan Lesong sedang dibersihkan dengan sejumlah besar kayu balak dibawa keluar dari hutan itu setiap hari.

Jabatan Perhutanan negeri Pahang mempertahankan tindakan itu sebagai sah di sisi undang-undang dengan berkata, kegiatan itu diluluskan oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).

Malah menurut jabatan itu, kegiatan tersebut hanya menjejaskan kawasan yang dikenali sebagai 'hutan kedua'.

Walaupun kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian, Pencinta Alam Sekitar menyifatkan tindakan tersebut boleh memberi kesan buruk kepada hidupan liar di negara ini.

Dalam dua tinjauan berasingan ke Hutan Simpan Lesong pada pertengahan Julai lalu, The Star mendapati terdapat kesan kegiatan pembalakan di lebih 20 kawasan di sekitar hutan tersebut.

Keseluruhan kawasan berbukit sudah dibersihkan dengan beberapa laluan jalan diwujudkan untuk memudahkan pergerakan kenderaan.

Kawasan di hutan simpan itu dapat dilihat hanya satu atau dua kilometer dari ladang kelapa sawit dengan pokok ditebang dan dedaun berselerakan  tidak jauh dari papan tanda kerajaan negeri yang melarang aktiviti pembalakan.

Beberapa trak dilihat berada di tengah hutan itu untuk membawa keluar kayu balak yang telah ditebang.

Papan tanda larangan aktiviti pembalakan juga dapat dilihat di kebanyakan kawasan di hutan itu.

Beberapa kem pembalakan, lengkap dengan jentera berkuasa tinggi dan pekerja asing dihubungkan dengan jalan yang memudahkan pergerakan keluar masuk trak tersebut.

Walaupun tiada hidupan liar dikesan di kawasan tersebut, kesan tapak kaki gajah dapat dilihat di beberapa laluan jalan di sini.

Beberapa pembalak merasa curiga dengan kehadiran The Star dan memberi amaran kepada kami supaya tidak mengambil gambar tetapi mereka tidak menganggu tugasan ini.

Kebanyakan kayu balak bersaiz besar dikumpul dan kemudiannya dibawa menaiki trak ke kawasan timur di hutan tersebut yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sini.

Di salah satu kawasan, beratus-ratus kayu balak sedia untuk diangkut.

Aliran air di sebatang sungai juga tersekat disebabkan longgakan sampah yang dipercayai dibuang oleh pembalak di kawasan itu.

Ketika kami meneliti keseluruhan kawasan hutan itu, kami mendapat beberapa bahagian hutan terbabit telah diterokai beberapa tahun sebelum ini berdasarkan keadaan semak setinggi beberapa meter.

Seorang penduduk orang asli yang hanya ingin dikenali sebagai Juba berkata pembalak sering dilihat berada di hutan tersebut sejak beberapa tahun lalu tetapi kegiatan pembalakan giat dijalankan sejak awal tahun ini.

Katanya, pembalak menjalankan aktiviti tersebut hampir setiap hari sejak dari awal tahu ini.

Menurut Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP), Hutan Simpan Lesong berada di bawah Kompleks Taman Negara Endau-Rompin, salah satu daripada tiga kawasan teras habitat harimau dikenal pasti di Semenanjung Malaysia.

Jabatan Perhutanan negeri Pahang berkata, sebanyak 50 hingga 116 meter padu kayu balak disasarkan bagi setiap hektar tanah.

Penyelidik hutan, Lim Teck Wyn memberitahu The Star bahawa kegiatan pembalakan pada umumnya bernilai RM1,000 bagi setiap meter padu.

Walaupun pada suatu anggaran konservatif, jumlah kayu balak dari tanah berkeluasan 3,000 hektar mampu mencecah nilai RM150 juta.





 
Tags / Kata Kunci: Hutan Lesong , Pahang , pembalakan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan