Malaysia Capai Sasaran Kurangkan Intensiti Pelepasan Karbon - Najib

Diterbitkan: Rabu, 24 September 2014 12:56 PM

Najib menyampaikan ucapan sempena Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB di New York, Selasa.

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai sasaran mengurangkan intensiti pelepasan karbon daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus pada 2020, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, Selasa.

Perdana Menteri berkata, Malaysia telah mengurangkan intensiti pelepasan karbon KDNK lebih daripada 33 peratus walaupun menghadapi kesulitan dalam memenuhi ikrarnya yang dibuat di Copenhagen enam tahun lepas.

Malaysia tidak menerima bantuan pemindahan kewangan dan teknologi yang telah dijanjikan negara-negara maju pada mesyuarat Copenhagen itu, kata beliau pada sidang kemuncak itu, yang turut dihadiri pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, di ibu pejabat PBB di sini.

"Sasaran yang kami tetapkan di Copenhagen adalah dengan syarat adanya pemindahan kewangan dan teknologi dari negara-negara (maju) Lampiran I. Namun, tiada satu pun syarat itu dipenuhi. Kami tidak menerima bantuan yang dijanjikan kepada kami mengikut Perkara 4.7 Konvensyen itu," kata Najib.

Dengan membawa perhatian PBB kepada inisiatif Malaysia untuk memenuhi sasaran Copenhagen, perdana menteri berkata Malaysia telah melaksanakan dasar-dasar baharu mengenai perubahan iklim dan teknologi hijau.

Sambil menyatakan dasar Malaysia dalam bidang itu, Najib berkata, Malaysia telah meluluskan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui yang antara lain menyediakan galakan tarif untuk tenaga boleh diperbaharui.

"Kami membuat penyesuaian dan pengurangan berpusat kepada pengurusan sumber air kami. Dan kami juga mewartakan rizab hutan baharu bagi mengesahkan komitmen kami terhadap ikrar yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi Rio," kata beliau.

Dalam tempoh enam tahun lepas, katanya, Malaysia telah mengambil langkah yang jelas ke arah masa depan lebih bersih dan mempunyai ekonomi lebih mampan, selain gabungan tenaga lebih seimbang pada masa ini.

"Tetapi kemajuan ini memerlukan kos. Dalam memperuntukkan sumber-sumber negara yang terhad, kami terpaksa membuat keputusan yang menyakitkan. Kadang-kala, kami terpaksa memilih antara penyesuaian dan pengurangan," kata Najib.

Beliau berkata, Malaysia telah membelanjakan hampir AS$2.6 bilion (RM8.3 bilion) pada akhir dekad lepas bagi menyesuaikan diri dengan kekerapan berlakunya banjir.

"Wang ini kita boleh laburkan dalam industri hijau, atau digunakan untuk memperlahankan perubahan iklim," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut mengambil iktibar bahawa pengurangan tanpa penyesuaian adalah usaha yang sia-sia.

Dalam tempoh kering di Malaysia baru-baru ini, beliau berkata kekurangan air dan kebakaran telah memusnahkan beribu-ribu pokok yang ditanam untuk mengasingkan karbon atmosfera.

Najib berkata, Malaysia juga telah membuktikan bahawa ekonominya boleh berkembang sementara intensiti pelepasan karbonnya merosot.

"Tetapi kami terpaksa mengalihkan kewangan daripada inisiatif pembangunan mampan lain - dan kami kehilangan momentum yang amat berharga dalam bidang berkenaan.

"Malaysia akan terus bertindak untuk perubahan iklim," katanya.

Sambil menjelaskan lagi pendapatnya berhubung isu itu, Najib berkata, Malaysia mempunyai dasar-dasar baharu untuk menggalakkan kenderaan cekap tenaga, program pelaporan gas rumah hijau korporat baharu, projek kecekapan sektor bangunan dan pelan tindakan bandar rendah karbon.

Malaysia juga sedang membina sistem transit bandar besar-besaran yang boleh mengurangkan separuh daripada bilangan kereta di jalan-jalan bandar, katanya. 

Dalam menghadapi kesan iklim yang semakin meningkat, Malaysia kekal komited kepada agenda iklim, katanya sambil membangkitkan bahawa negara itu boleh mencapai dengan lebih banyak jika janji yang dibuat (oleh negara-negara maju) di bawah konvensyen itu ditunaikan.

"Ikrar Copenhagen kami dibuat dengan setulus hati, dengan pemahaman bahawa pihak-pihak berkenaan akan melaksanakan sepenuhnya komitmen mereka untuk membantu negara-negara membangun.

"Mereka tidak berbuat demikian. Namun, Malaysia terus mengurangkan intensiti pelepasan karbonnya, demi rakyat kami - dan planet kami, "kata beliau.

Najib berkata, persidangan kali ini mesti berbeza di mana semua negara perlu komited kepada perjanjian untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mereka mesti menyusuli komitmen itu dengan tindakan yang konsisten.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun di Asia, beliau berkata Malaysia menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak perlu bergantung kepada pelepasan.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan negara pesat membangun lain bagi memperjuangkan cita-cita yang lebih besar pada 2015, dan untuk menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi dan tindakan iklim bukannya persaingan matlamat, sebaliknya ia adalah cita-cita bersama, "kata perdana menteri.


Tags / Kata Kunci: Datuk Seri Najib Tun Razak , karbon , PBB

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan