CAP Minta Kementerian Kesihatan Kaji Keselamatan 'Loom Band' - Berita Semasa | mStar

CAP Minta Kementerian Kesihatan Kaji Keselamatan 'Loom Band'

Diterbitkan: Selasa, 23 September 2014 6:29 PM

Loom band.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Kesihatan menjalankan ujian terhadap produk gelang getah atau 'loom band' selepas timbul isu phthalates iaitu bahan kimia karsinogenik dalam produk berkenaan.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata timbul kekeliruan berhubung keselamatan penggunaan bahan itu memandangkan kementerian tidak bercadang mengenakan larangan terhadap 'loom band' sedangkan ia diharamkan di United Kingdom.

"Kementerian Kesihatan perlu menjalankan ujian ke atas semua produk 'loom band' di pasaran dan menghebahkan hasil ujian itu kepada orang ramai di samping menarik balik produk itu daripada pasaran tempatan sehingga ia terbukti selamat untuk digunakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya baru-baru ini, menyebut 'loom band' tidak diklasifikasi sebagai alat mainan di Malaysia sebaliknya aksesori hiasan, dan ibu bapa dinasihat tidak memberikan barangan itu kepada kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah.

Justeru, CAP berpendapat pengawalan terhadap produk itu di Malaysia agak kabur dan menyebabkan orang ramai keliru sama ada ia selamat digunakan atau tidak.

Mohamed Idris berkata 'loom band' di Malaysia adalah sama seperti yang dijual di negara lain termasuk United Kingdom, selain lambakan produk tiruan dikhuatiri mengandungi bahan kimia berbahaya pada paras lebih tinggi.

Beliau juga berkata pembungkusan kebanyakan 'loom band' di Malaysia bukan dalam bahasa tempatan.

Mohamed Idris berkata produk itu sepatutnya dilabel dengan sempurna dalam bahasa tempatan agar pengguna boleh membuat keputusan yang betul jika ingin membelinya.

Phthalates merupakan bahan kimia yang mempunyai keupayaan mengganggu hormon dan digunakan terutamanya untuk mempertingkat fleksibiliti dan pelbagai ciri lain plastik.

Tags / Kata Kunci: loom band , CAP , SM Mohamed Idris
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan