Dari Gua Musang Ke Pengkalan Kubor 'Pertaruh' Dokong

Diterbitkan: Isnin, 22 September 2014 10:55 AM

Zaiton melalui perjalanan jauh dari Gua Musang semata-mata untuk menjual dokong hanya RM1 sekg di Pengkalan Kubor.

(Ubah saiz teks)

PILIHAN raya kecil (PRK) di Pengkalan Kubor menarik minat Zaiton untuk mencuba nasib dan rezekinya di kawasan bersempadan dengan Thailand itu.

 

Tanpa mahu berfikir panjang tentang untung atau rugi, peniaga berusia 60 tahun ini menyewa sebuah lori daripada rakannya dan membawa dokong mencecah hampir 300 kilogram (kg) dari Gua Musang ke Pengkalan Kubor untuk dijual.

Dia sendiri mengakui perjalanannya untuk sampai ke Pengkalan Kubor yang kini menjadi tumpuan ramai itu memakan masa yang lama, namun demi mencari rezeki lebih, dia tidak kisah mencuba nasib.




Dalam erti kata lain, jika PAS dan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calonnya di situ, Zaiton pula mempertaruhkan dokongnya!

Zaiton tiba di Pengkalan Kubor kira-kira pukul 9.30 pagi, selepas dia bersama anak saudaranya bertolak dari Kampung Selo Temegan di Gua Musang pada pukul 7 pagi.

Ketika tiba, cuaca baik dan cerah, namun terik matahari sudah mula menunjukkan tanda-tanda untuk muncul.

Selepas lori diberhentikan di tepi jalan, Zaiton duduk di dalam 'perut' lori bersama timbunan buah dokong dan menunggu pelanggan.

"Saya orang luar, mari sini cuba nasib saja. Kalau untung, saya mari lagi esok.

"Dari Gua Musang ke sini jauh. Kalau balik modal, lepas bayar sewa lori, duit minyak dan ada untung sikit bolehlah mak cik niaga lagi esok," katanya.

Sambil bercerita, tangannya juga sibuk bekerja. Sibuk memasukkan dokong dalam beg plastik dan diletakkan di atas penimbang.

Seorang demi seorang pelanggan yang kebanyakannya 'orang luar' datang ke lori buah dokong Zaiton. Setiap seorang pasti akan membawa pulang sekurang-kurangnya dua kg dokong.




Walau sering mengelap peluh, wajah Zaiton nampak ceria kerana timbunan buah dokongnya semakin surut.

Ternyata, sambutan terhadap dokong yang dibelinya secara borong itu agak baik pada hari itu.

Tidak seperti di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar besar lain, dokong dijual cukup murah di sini, termasuklah yang dijual Zaiton.

"Satu kilo 'sa-rial' (RM1), tak boleh jual mahal di sini, tak dok ore beli (tak ada orang beli).

"Hari ni mak cik bawa tiga pikul buah, satu pikul 100 kilo, jadi semua sekali 300 kilo. Kalau habis esok boleh mari lagi," katanya.

Ibu kepada 10 anak ini mengakui mengambil peluang daripada kempen pilihan raya di sini untuk menambah rezeki.

Katanya, dia tahu ramai orang luar datang ke Pengkalan Kubor sepanjang tempoh berkempen.

"Kalau tak datang ke sini mak cik buat kerja kampung saja. Menoreh, menebas," katanya.

Dia juga tidak kisah tentang parti mana yang akan menang di Pengkalan Kubor kerana apa yang lebih penting baginya ialah cuba menghabiskan tiga pikul buah dokong yang dibawanya.

"Kita berniaga tak kira siapa menang, siapa kalah. Buah kena habiskan dulu," katanya dalam loghat Kelantan.

Tags / Kata Kunci: Pengkalan Kubor , dokong

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan