Papan Iklan Bangkit Isu Royalti Akan Diturunkan Jika Salah - SPR - Berita Semasa | mStar

Papan Iklan Bangkit Isu Royalti Akan Diturunkan Jika Salah - SPR

Diterbitkan: Ahad, 21 September 2014 11:26 AM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang membuat semakan terhadap papan iklan tertulis isu royalti yang digunakan sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, tindakan akan diambil sekiranya semakan mendapati ia melanggar undang-undang yang ditetapkan.

"Kita sedang buat semakan. Kalau didapati melanggar syarat, kita akan minta ia diturunkan.

"Setakat ini kita belum terima lagi laporan rasmi, laporan ke lain mungkin ada tapi di pihak SPR kita belum terima lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini, Ahad.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen, SPR menerima tiga laporan perlanggaran syarat oleh kedua-dua parti bertanding iaitu Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Kesalahan yang dibuat termasuklah meletakkan bendera di lampu isyarat dan menggunakan poster atau bendera parti yang tidak bertanding.

Bagaimanapun katanya, tiada tindakan yang diambil terhadap kedua-dua parti setakat ini.

"Hasil rundingan dengan parti bertanding, kedua-dua (BN dan PAS) bersetuju menurunkan bendera dan poster berkenaan, oleh itu tiada tindakan diambil.

"Keadaan kempen amat terkawal," katanya.

Dalam pada itu beliau berharap masyarakat di Pengkalan Kubor dapat mengekalkan keamanan dan semangat setiakawan serta dapat berpolitik secara kekeluargaan sepanjang tempoh kempen.

Mengenai proses pengundian awal pada Ahad, Mohd Hashim berkata, sebanyak 81 peratus anggota polis yang berdaftar sebagai pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pukul 10 pagi.

Katanya, pengundian awal kali ini melibatkan 109 pengundi dan pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi.

Katanya, jika kesemua 109 pengundi telah hadir mengundi sebelum pukul 3 petang, pusat pengundian tetap akan ditutup pada waktu yang ditetapkan.

"Peraturan (tutup) pukul 3, kalau kita umum tutup pukul 3, pukul 3 ia akan ditutup.

"Dalam waktu berkenaan macam-macam boleh jadi. Kalau ada apa-apa berlaku, kawasan ini masih dibuka, petugas masih ada," katanya.

PRK Pengkalan Kubor diadakan selepas Datuk Noor Zahidi Omar, 57, meninggal dunia pada 20 Ogos akibat kanser hati.

Proses penamaan calon telah diadakan pada 13 September dan proses pengundian ditetapkan pada 25 September ini.


Tags / Kata Kunci: Pengkalan Kubor , BN , PAS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan