MB Selangor: PKR Tetap Mahu Azizah, Mohon Mengadap Sultan - Berita Semasa | mStar

MB Selangor: PKR Tetap Mahu Azizah, Mohon Mengadap Sultan

Diterbitkan: Sabtu, 20 September 2014 8:55 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Berbaki empat hari sebelum menteri besar Selangor yang baharu mengangkat sumpah pada Selasa depan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung sokongan majoriti yang dimiliki Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga kini presiden PKR itu kekal mempunyai sokongan daripada 30 wakil rakyat di Selangor.

Sehubungan itu PKR memohon sembah untuk menghadap Sultan Sharafuddin bagi mendapatkan pandangan berhubung situasi berkenaan.

"PKR mengambil pendirian bahawa kedudukan sokongan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) seperti yang dinyata sebelumnya menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah tidak berubah.

"Oleh yang demikian, PKR merafa’ sembah memohon limpah perkenan tuanku untuk mengadap bagi mendapatkan nasihat dan ehsan tuanku dalam keadaan sokongan majoriti adalah jelas dan tidak berubah," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat malam.

Keputusan berkenaan dicapai menerusi mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan pada Sabtu.

"PKR akan terus menjunjung kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan undang-undang tubuh Negeri Selangor yang dinaungi tuanku," katanya.

Majlis angkat sumpah menteri besar Selangor yang baharu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang pada Selasa ini sekali gus menamatkan kemelut yang berlarutan lebih sebulan lalu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan perkara itu dan menyatakan majlis akan bermula pada pukul 10 pagi.

Kemelut jawatan menteri besar Selangor bermula apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 9 Ogos lalu ekoran keengganannya meletak jawatan seperti yang diarahkan.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos pula menarik balik sokongan terhadap Khalid dan mengemukakan dua nama sebagai calon menteri besar iaitu Dr Wan Azizah dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Tags / Kata Kunci: PKR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan