PKR, DAP Diingatkan Agar Tidak Khianati Kerjasama - Abdul Hadi

Diterbitkan: Khamis, 18 September 2014 11:14 AM

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP diingatkan supaya tidak mengkhianati tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang dijalinkan bersama PAS.

Peringatan tegas itu dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ketiga-tiga sekutu Pakatan Rakyat berkenaan sekali lagi berhadapan dengan krisis politik membabitkan isu menteri besar Selangor.

"Sepanjang sejarah perjuangan PAS, kita tidak pernah khianat kepada rakan tahaluf kita, maka kita minta rakan tahaluf kita juga tidak mengkhianati tahaluf ini.

"Sebagai sebuah parti politik besar, apa jua rancangan besar mestilah diputus bersama sebelum ianya dilaksanakan," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini, Khamis.

Sejak PKR melancarkan 'Langkah Kajang' untuk menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar awal tahun ini, PAS-PKR-DAP dilihat bergelut dalam krisis berpanjangan yang belum akhir.

Sejak isu berkenaan timbul, PAS dilihat mengambil jalan bertentangan dengan PKR dan DAP terutama mengenai pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar.

Lebih memburukkan keadaan, PAS turut dituduh cuba mengkhianati kerjasamanya dalam Pakatan Rakyat bagi menjalinkan kerjasama dengan Umno dan membentuk kerajaan campuran di Selangor untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai menteri besar walaupun beliau kini merupakan wakil rakyat Bebas.

Mengulas lanjut mengenainya, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan PAS tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Umno dan menyifatkan tuduhan itu adalah fitnah terhadap parti itu.

"Saya ingin menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS  mahu menyertai Umno atau bergabung dengan Umno menyertai BN adalah api fitnah yang  dicetus oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan reputasi perjuangan Islam dan memecah belahkan keutuhan jamaah kita.

"Namun sebagai sebuah jamaah Islam yang membawa rahmat kepada semua, kita tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan umah berasaskan tali Allah," katanya.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, kerjasama politik PAS dalam Pakatan Rakyat mestilah berteraskan ajaran Islam dan bukannya menjadikan matlamat politik sebagai sasaran utama.

"Kerjasama politik bukan bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain atau parti lain sehingga hilang prinsip dan jati diri kita atau hanya menjadikan ukuran kemenangan semata-mata sebagai matlamat sehingga menghilangkan dasar parti bagi pelaksanaan Islam.

"Oleh yang demikian dengan merujuk kepada syarat-syarat tahaluf yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS serta hukum tertinggi PAS, maka PAS akan terus istiqamah dengan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat selama mana tidak berlaku pelanggaran syarat yang telah digariskan," katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan