IPU Di Kuching Cecah Tahap Tidak Sihat

Diterbitkan: Rabu, 17 September 2014 4:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Jerebu yang melanda selatan Sarawak semakin teruk pada pertengahan minggu ini. Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada tengah hari Rabu mencecah 119 berbanding hanya 80 pada Hari Malaysia yang disambut pada Selasa.

Pihak berkuasa negeri menyifatkan ia berpunca daripada asap kebakaran di 219 lokasi panas di selatan Kalimantan.

Bagaimanapun, terdapat lima lokasi panas dikesan di Sarawak.

Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, dua lokasi panas dikenal pasti di Samarahan, dua di Sarikei dan satu di Sri Aman.

"Kita tidak mengeluarkan sebarang permit untuk pembakaran terbuka. Para pegawai kami dihantar untuk membuat pemeriksaan di lokasi-lokasi panas," kata Talif kepada The Star.

Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya pembakaran komersial berskala besar, beliau berkata, lokasi-lokasi panas ini tidak mungkin dari ladang kelapa sawit.

"Kita tidak pasti lagi tetapi berdasarkan koordinat, salah satu lokasi panas berdekatan dengan sebuah ladang di Samarahan, tetapi bukan di kawasan itu. Satu lagi lokasi panas di Sarikei dekat sebuah rumah panjang. 

"Jerebu yang anda lihat sekarang adalah dari angin yang bertiup dari tenggara Kalimantan. Kita tahu perkara ini dengan jelas kerana bacaan IPU di Tebedu (bandar di sempadan antara Sarawak dan Indonesia) adalah 150.

Bacaan IPU paling tinggi di seluruh negara pada Selasa adalah di Sarawak.

Di Samarahan, kawasan pedalaman dekat Kuching mencatatkan IPU 123, di Sri Aman 104.

Bacaan antara 101 dan 200 adalah "tidak sihat", manakala bacaan antara 51 dan 100 dikira sebagai "sederhana". 

Kualiti udara di Sibu yang terletak di tengah-tengah Sarawak menerima bacaan 66.

Kawasan yang kurang terjejas di Sarawak adalah di bahagian Utara.

Tags / Kata Kunci: IPU , indeks pencemaran udara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan