MH17: Jumlah Jenazah Tiba Khamis Ini Mungkin 3 - Rohani - Berita Semasa | mStar

MH17: Jumlah Jenazah Tiba Khamis Ini Mungkin 3 - Rohani

Diterbitkan: Selasa, 16 September 2014 1:00 PM

Rohani Abdul Karim
(Ubah saiz teks)

MIRI: Jumlah jenazah mangsa nahas pesawat MH17 yang akan dibawa pulang Khamis ini mungkin bertambah kepada tiga daripada dua, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata ini kerana jenazah anak kapal Shaikh Mohd Noor Mahmood, 44, juga telah selesai melalui semua proses dan bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan empat lagi jenazah telah dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia dan dua daripadanya iaitu jenazah Muhammad Afzal Tambi, 17, dan adiknya Marsha Azmeena, 15, telah mendapat kelulusan untuk dibawa pulang Khamis ini.

Rohani berkata jenazah seorang lagi rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti iaitu Liew Yau Chee, 38, masih dalam proses dokumentasi.

Sementara itu beliau berkata Malaysia Airlines (MAS) sudah mula menghubungi waris keluarga mangsa untuk proses pengecaman barang-barang milik mangsa.

"Sebaik barangan milik mangsa ditemui, MAS terus menghubungi keluarga mangsa dan memberi gambar barangan tersebut untuk proses mengenal pasti," katanya kepada pemberita di sini.

Rohani berkata beliau akan bertemu 10 waris mangsa esok untuk membincangkan soal bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

"Ini untuk membantu waris mangsa meneruskan hidup dari segi persekolahan anak-anak mereka, kebajikan, kerja dan sebagainya," katanya.

Tags / Kata Kunci: MH17 , MAS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan