Parti Alternatif Rakyat Jadi Suara Ketiga

Diterbitkan: Selasa, 16 September 2014 4:45 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sebuah parti politik baharu, Parti Alternatif Rakyat (PAP) akan ditubuhkan sebagai suara ketiga rakyat selaras dengan ideologi memartabatkan jati diri, hak dan kepentingan rakyat Malaysia.

Presiden Jawatankuasa Penaja PAP, Zulkifli Mohd Noor berkata pihaknya telah menghantar permohonan mendaftarkan parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Isnin dan masih menunggu kelulusan.

"Selepas mendapat kelulusan daripada ROS, kami akan melancarkan parti baharu ini di Kuala Lumpur. Sementara menunggu kelulusan itu, kami akan patuh arahan pihak ROS yang boleh dan tidak boleh kami lakukan sehingga disahkan mendapat sijil rasmi kelak," katanya dalam sidang akhbar mengumumkan penubuhan jawatankuasa penaja PAP di sini, Selasa.

Beliau berkata penubuhan parti baharu yang berlandaskan ideologi liberal demokratik itu juga berhasrat untuk mempersiapkan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14, kelak.

Katanya, calon akan dihantar bertanding di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di seluruh negara.

Zulkifli berkata selain 25 anggota jawatankuasa penaja, pihaknya telah mengenal pasti pemimpin di peringkat negeri, kawasan Parlimen dan cawangan serta mengembangkan parti itu ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata keahlian PAP terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan tidak akan menyekat anggota daripada mana-mana parti politik lain untuk menyertai parti berkenaan.

"Kami memberi peluang kepada anak-anak muda, mereka yang tidak menjadi ahli mana-mana parti, mereka ingin tinggalkan dan sudah tinggalkan parti mereka. Mereka yang tiada platform untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum dan kecil.

"Mereka yang terdiri daripada pesara angkatan tentera, polis dan anggota keselamatan yang lain bolehlah menyertai atau sekurang-kurangnya memberi sokongan kepada parti ini," katanya.


Tags / Kata Kunci: Parti Alternatif Rakyat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan