Hari Malaysia Disambut Sederhana Di India

Diterbitkan: Selasa, 16 September 2014 12:04 PM

(Ubah saiz teks)

KOCHI: "Hari Malaysia tetap diraikan walaupun berada di negara orang, yang penting semangat cintakan negara sentiasa terpahat dalam sanubari," itulah semangat sekumpulan rakyat Malaysia yang menyambut Hari Malaysia secara sederhana di Kerala India, Isnin.

Kumpulan itu terdiri daripada 56 delegasi Malaysia yang menghadiri Persidangan Internet Tamil Antarabangsa ke-13 di Universiti Pondicherry, India dari 19 hingga 21 Sept.

Acara secara sederhana itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan seterusnya lagu Selamat Hari Lahir Malaysia, sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Sorakan 1Malaysia dan Malaysia Boleh turut dilaungkan dengan penuh semangat.

Seorang delegasi, Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil RRI Sungai Buloh, R. Chanderan berkata walaupun berada di luar negara, rakyat Malaysia tidak harus melupakan semangat cintakan negara.

"Biarpun berada di negara orang, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melupakan sambutan Hari Malaysia, itu yang kita tanamkan dalam sanubari pelajar," katanya.

R. Selvajothi yang merupakan pelajar ijazah kedoktoran dalam bidang linguistik, Universiti Malaya pula menyifatkan sambutan kali ini amat berlainan kerana ia disambut di negara lain.

"Sebagai guru kebiasaannya saya menyambut Hari Malaysia bersama pelajar di sekolah. Ini kali pertama saya menyambut Hari Malaysia di negara lain, ia begitu istimewa dan amat bermakna," katanya.

B. Thanesh, 29, pegawai di Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia berkata sambutan Hari Malaysia itu ternyata mengeratkan lagi hubungan peserta delegasi.

"Saya agak terkejut bila dimaklumkan mengenai sambutan itu. Walaupun sederhana tetapi ia penuh bermakna dan sukar dilupakan," katanya.


Tags / Kata Kunci: Malaysia , India , Kita Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan