Pengkalan Kubor: Kempen Harmoni, PAS-Umno Parti Anak-Beranak - PAS

Diterbitkan: Isnin, 15 September 2014 2:35 PM

(Ubah saiz teks)

PENGKALAN KUBOR: PAS akan memastikan suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berlangsung secara harmoni tanpa berlaku unsur-unsur provokasi.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS DUN Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, PAS mempunyai hubungan baik dengan Umno, justeru beliau menjangkakan suasana harmoni ketika berkempen akan berterusan sehingga hari mengundi.

"Kempen harmoni...PAS dengan Umno ni macam anak-beranak, kita tak ada berbalah apa. PAS berasal daripada Umno, tak ada masalah, hubungan persahabatan dengan Umno bukan sahaja di sini tapi di luar pun kita nak kekalkan.

"Kita beri peluang kepada rakyat buat pilihan secara demokrasi, tak ada ugutan, mainan kasar secara fizikal dan sebagainya," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS, di sini, Isnin.

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu ini berkata, dalam menjalankan kempen, PAS tidak akan menggunakan pendekatan yang menyerang peribadi individu tertentu melalui poster dan ceramah-ceramahnya.

Tambahnya, isu-isu membabitkan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar juga tidak akan dibangkitkan.

"Di pihak PAS kita tak akan bangkitkan isu membabitkan Allahyarham Datuk Noor Zahidi yang kita sita semua kenal.

"Kita tak akan mengungkit mengenai arwah dan tidak akan serang peribadi sesiapa," katanya.

Menurut beliau, dalam edisi kempen PRK kali ini, PAS akan memberikan tumpuan mendekati penduduk kampung selain mengadakan ceramah yang menyentuh isu melibatkan kerajaan Pusat.

Katanya, ceramah mini dan berkelompok akan lebih banyak diadakan berbanding ceramah utama.

Setakat ini katanya, PAS telah berkunjung ke lebih 300 buah rumah dan menyasarkan untuk ke di 3,000 kediaman selepas ini.

"Kita akan tumpukan isu-isu seperti tebatan banjir. Benda-benda macam tu kita akan bangkitkan, bukan yang bersifat peribadi," katanya.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor diisytihar kosong selepas penyandangnya, Noor Zahidi daripada BN meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu.

Noor Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat mempertahankan kerusi DUN Pangkalan Kubor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dengan majoriti 1,736 undi.

Beliau yang memperoleh 10,174 undi menewaskan dua lagi lawannya daripada PKR, Saharun Ibrahim yang mendapat 8,438 undi serta seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi.


Tags / Kata Kunci: Pengkalan Kubor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan