PAS Berjaya Perintah 20 Tahun Di Kelantan Kerana Berjimat - Hadi

Diterbitkan: Isnin, 15 September 2014 12:14 PM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa parti itu berjaya memerintah Kelantan selama lebih 20 tahun kerana pandai berjimat cermat dalam perbelanjaan.

Beliau berkata itulah rahsia pimpinan PAS di Kelantan yang menurutnya tidak berani menyalahgunakan wang kerana bimbangkan dosa dan pahala.

"Inilah rahsianya, (pemimpin PAS) tidak terlibat dengan rasuah, tidak terlibat dengan salah laku dan tidak terlibat dengan macam-macam lagi," katanya dalam ceramah pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini lewat malam Ahad.

Beliau berkata, kerajaan PAS Kelantan tidak melakukan perkara yang salah dan mendakwa hanya parti itu yang memperjuangkan agama Islam di negara ini yang tidak memisahkan antara agama dan politik.

Beliau kemudian menggunakan pentas ceramah tersebut untuk mencaci Umno dengan mengatakan anggota parti itu boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka kerana Umno memisahkan agama dan politik.

Walaupun sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa isu royalti minyak tidak harus dijadikan modal untuk berkempen pada pilihan raya kecil ini kerana ia sudah menjadi kes mahkamah, namun Abdul Hadi masih berdegil dan menyentuh perkara itu.

Pada PRK DUN Pengkalan Kubor, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, 48, akan ditentang calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47.

PRK itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

Hari pengundian ditetapkan 25 Sept.
Tags / Kata Kunci: Kelantan , Pengkalan Kubor , PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan