Jangan Panik, Tiada Kes Ebola Di Malaysia - Noor Hisham

Diterbitkan: Isnin, 15 September 2014 8:29 PM

Dr Noor Hisham Abdullah.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan pada Isnin mengesahkan bahawa sehingga kini tiada kes virus Ebola dikesan di Malaysia, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Justeru, beliau berkata masyarakat tidak perlu panik dengan laporan berita mengenai seorang pelajar asing dari institusi pengajian tinggi swasta ditahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching, kerana disyaki dijangkiti virus itu.

Beliau menjelaskan pelajar berasal dari Zimbabwe itu, yang berada di negara ini sejak Februari lepas, dikuarantin kerana demam, sakit tekak dan batuk sejak Ahad lepas.

"Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) di mana staf hospital hanya mengambil langkah berjaga-jaga. 

"Pelajar berkenaan juga tidak mempunyai sejarah perjalanan antarabangsa dan tidak mempunyai hubungan dengan pesakit Ebola dalam tempoh 21 hari sebelum menunjukkan gejala," katanya.

Dr Noor Hisham juga menegaskan bahawa jika benar ada kes Ebola di Malaysia, kementerian akan menjadi orang pertama memaklumkan kepada masyarakat dan juga memberitahu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Beliau memaklumkan buat masa ini Zimbabwe tidak disenaraikan sebagai negara yang dijangkiti Ebola.

Pelajar berusia 24 tahun tersebut sebelum ini telah mendapat rawatan di sebuah hospital pakar swasta di Kuching pada Sabtu lepas sebelum dirujuk ke HUS kerana dikhuatiri dijangkiti virus Ebola.

Penyakit Ebola yang merupakan penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan primat seperti monyet. 

Sejak Mac 2014, pihak WHO telah memaklumkan tentang kejadian wabak Ebola yang melibatkan empat buah negara di Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.

Jumlah kes Ebola di dunia setakat 12 September ini ialah 4,335 termasuk 2,331 kematian.


Tags / Kata Kunci: Ebola , Dr Noor Hisham

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan