PRK Pengkalan Kubor: Dua 'Rahsia' Kemenangan

Diterbitkan: Isnin, 15 September 2014 10:46 AM

Dari kiri Mat Razi, Wan Rosdi dan Izat Bukhary calon yang berentap pada PRK Pengkalan Kubor.

(Ubah saiz teks)

ANALISIS

SATU hakikat yang tidak mampu disangkal tiga calon yang telah masuk ke gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor yang dibuka secara rasmi pada 13 September lalu adalah kualiti bekas wakil rakyatnya.

Tidak kiralah calon itu mewakili lambang dacing, bulan atau pen (lambang dipilih oleh calon Bebas), mahu atau tidak, 'trio' bertanding ini perlu akur terhadap realiti bahawa Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar bukanlah calang-calang pemimpin.

Disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan, jasa wakil rakyat tiga penggal di Pengkalan Kubor ini tidak 'terkubur' bersama jasadnya.

Menjelang pemilihan 25 September ini, poster-poster calon bertanding di sana-sini telah 'dinaikkan' di setiap pelosok kampung dan pekan yang dipisahkan oleh Sungai Golok dengan Thailand.

Di sebalik kesibukan menghadapi pilihan raya kecil, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai 'Datuk Di' tetap menjadi sebutan. Kemesraannya jadi kenangan dan jasanya abadi sebagai sanjungan.

Sedikit cerita tentang Pengkalan Kubor, orang PAS atau orang Barisan Nasional (BN) di sini boleh dikatakan tidak berbalah sesama sendiri, sebaliknya mereka saling menghormati. Kalau ada pun mungkin beberapa kerat sahaja.

Barangkali, mereka telah terikut-ikut teladan yang ditunjukkan bekas wakil rakyat tiga penggal mereka yang sering menghulurkan bantuan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

Menurut cerita penduduk, Allahyarham yang faham dan fasih berbahasa Thailand ini tidak hanya muncul di 'majlis suka-ria' atau kenduri-kendara sahaja.

Tiba musim banjir, beliau tiba dulu sebelum ketibaan bantuan rasmi. Andai ada penduduk yang sakit, beliau beli ubat dan tak lupa menziarah.

Satu perkara lagi yang sering diberitahu penduduk; Allahyarham lebih suka jika penduduk memanggilnya 'abe'(abang).

Cerminan kepimpinan Noor Zahid terdahulu, maka tidak hairanlah kawasan Pengkalan Kubor dilihat cukup tenang dan meriah dengan hubungan komuniti yang cukup erat.

Percaya atau tidak, ada penduduk yang memberikan Gred A+ terhadap tugas dan khidmat bakti Allahyarham.

Rahsia Kemenangan

Tiga calon bertanding, Mat Razi Mat Ail (BN), Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary bagaimanapun tidak perlu terlalu gusar dengan 'sejarah' manis yang telah ditinggalkan Allahyarham kepada penduduk di Pengkalan Kubor.

Namun, tidak dinafikan, tidak mudah untuk mereka menyambung tugas seorang pemimpin yang disenangi dan disayangi rakyat.

Tetapi, sekurang-kurangnya tiga calon anak kelahiran Kelantan ini tidak perlu 'pening kepala' memikirkan isu-isu berat atau mencongak apa sebenarnya yang dimahukan oleh 24,039 pengundi di Pengkalan Kubor.

Dengan menoleh ke belakang, merenung sejenak faktor-faktor yang membawa kepada kemenangan Datuk Di dahulu, ketiga-tiga calon ini sebenarnya sudah boleh 'nampak' rahsia untuk mereka memenangi hati rakyat, seterusnya menang di hari mengundi kelak.

Mereka sebenarnya sudah punya petunjuk jelas dan menemui dua rahsia untuk menang!

Penduduk faham setiap pemimpin membawa identiti dan pendekatan kepimpinan dengan cara tersendiri.

Sebab itulah mereka tidak minta pemimpin seterusnya menjadi 'Datuk Di ke-2'. Mereka tahu itu mustahil!

Apa yang penduduk harapkan adalah - melihat tampilnya seorang YB (Yang Berhormat) yang sebaik atau setaraf, atau yang lebih baik daripada wakil rakyat mereka terdahulu.

"Apa yang perlu diusahakan calon-calon sekarang ialah mengatur strategi sebaik mungkin, turun padang dan mendekati rakyat dan paling penting jangan sesekali melakukan sesuatu yang dilihat 'jengkel' di mata pengundi," kata seorang 'pak cik' tua yang ditemui di sebuah kedai kopi.

Faktor Calon

Di Pengkalan Kubor, jika berbicara tentang peluang calon untuk menang, tidak wujud istilah kecundang sebelum bertanding seperti di sesetengah kawasan yang calonnya disokong kerana kekuatan parti.

Di sini juga jarang-jarang sekali kedengaran orang bercakap tentang 'parti mana yang lebih kuat', kerana jawapannya memang tidak ada!

Dikatakan bahawa, penduduk di Pengkalan Kubor yang terletak di Parlimen Tumpat ini sedikit berbeza dengan masyarakat di tiga lagi kawasan di bawah Parlimen sama iaitu Wakaf Baru, Pasir Pekan dan Kelaboran yang dikatakan lebih 'setia' kepada parti.

Tiga DUN tersebut diakui didominasi oleh PAS.

Mungkin faktor kedudukan geografinya yang terletak paling hujung dalam peta Kelantan, bersempadan dengan Thailand, sering berdepan masalah banjir dan ramai penduduk bergantung hidup dengan hasil laut, maka penduduk di Pengkalan Kubor sudah tidak kisah tentang parti.

Mereka lebih gemar melihat calon yang mampu memberikan mereka lebih perhatian dan membela nasib.

"Kami di sini lebih pentingkan calon, tak pentingkan parti sangat. Calon mana yang tawarkan khidmat terbaik, kami akan pilih dia.

"Calon-calon kali ini saya tengok lebih kurang sama sahaja latar belakang mereka. Walaupun anak tempatan, bila tengok muka di poster macam pernah nampak, tapi tak kenal.

"Kalau sebut nama sahaja, ramai yang kata tak kenal," kata seorang peniaga kedai makan di Pengkalan Kubor yang hanya mahu dikenali sebagai Lan.

Lan berkata ramai penduduk mengharapkan individu yang menggantikan Datuk Di akan dapat berkhidmat sebaik beliau atau lebih baik lagi.

"Kami tahu memang susah nak dapat yang sama, tapi itulah yang kami harapkan. Beliau bantu semua, tak kira orang BN atau PAS," katanya.

Ismail, 60, yang akan keluar mengundi pada 25 September ini, berkata tidak ada pemimpin yang sempurna, tetapi usaha untuk sentiasa membantu dan membela nasib rakyat perlu ada dalam diri seorang wakil rakyat.

"Saya fikir calon perlu beri lebih beri perhatian kepada nasib nelayan.

"Saya bukan nelayan tapi saya tahu nelayan-nelayan di sini ada banyak masalah yang memerlukan bantuan kerajaan," katanya dalam dialek Kelantan.

Mengakui wakil rakyat terdahulu wajar dicontohi, beliau bagaimanapun tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi terhadap mana-mana calon selagi mereka tidak turun padang bertemu pengundi.

Jumie, 32, penduduk tempatan yang berkerja sendiri berkata masih terlalu awal untuk menilai tiga calon yang bertanding.

Katanya, agak sukar membuat pilihan kerana berpandangan kesemua calon kurang berpengaruh dan kurang dikenali walaupun merupakan calon tempatan.

"Mungkin sedikit masa lagi mereka akan jadi orang berpengaruh," katanya.

Pengaruh Parti

Namun, walau sehebat mana pun seseorang calon itu, harus diingat bahawa mereka tidak boleh bergerak sendiri tanpa bantuan orang lain atau jentera parti.

Calon BN nyata sekali mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan bantuan jentera kerajaan Pusat. Setiap hari, ada sahaja pimpinan tertinggi hadir untuk sama-sama berkempen dengan calon.

Bagi calon PAS, mereka juga punya kelebihan hampir sama. Kekuatan jentera kerajaan Negeri tidak perlu dipertikaikan dan nampaknya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat atau Tok Guru yang menjadi kesayangan rakyat Kelantan juga sering turun padang dalam pilihan raya kali ini.

Begitu juga calon Bebas yang sebelum ini mendapat 65 undi. Mungkin pengalaman bertanding pada PRU-13 dapat dijadikan indikator, walaupun bukan untuk menang tetapi sekurang-kurangnya untuk meraih lebih banyak undi. 


Tags / Kata Kunci: Pengkalan Kubor , PAS , BN , Umno

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan