BN Teruskan Pendekatan Noor Zahidi Jika Menang - Berita Semasa | mStar

BN Teruskan Pendekatan Noor Zahidi Jika Menang

Diterbitkan: Ahad, 14 September 2014 6:05 PM

Hishammuddin Hussein.

(Ubah saiz teks)

KUALA KUBU BHARU: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Ahad memberi jaminan kepada penduduk Pengkalan Kubor bahawa semua pendekatan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar akan diteruskan, sekiranya Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Hishammuddin berkata ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Allahyarham Noor Zahidi di kawasan itu, tidak disia-siakan.

"Saya tengok kelebihan arwah Noor Zahidi adalah khidmatnya kepada masyarakat di sana. Kita mahu apa yang telah dilakukan arwah sebelum ini diteruskan, jika masyarakat memberi peluang kemenangan kepada calon kita di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Selangor di sini, Ahad.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor yang ditetapkan pada 25 Sept ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Noor Zahidi, 57, daripada BN, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.


   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan