Isu Selangor Ibarat Kertas UPSR Bocor - Pemuda PAS

Diterbitkan: Sabtu, 13 September 2014 7:30 AM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Pengundi di Pengkalan Kubor diberitahu bahawa isu Menteri Besar  Selangor boleh diibaratkan seperti kejadian kertas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bocor.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat berkata, kemelut Pakatan Rakyat di Selangor adalah ujian biasa untuk PAS, PKR dan DAP yang masih baharu dalam mentadbir negeri, justeru rakyat tidak perlu bimbang.

"Jangan bimbang perkembangan di Selangor, ini perkara biasa.

"Macam budak-budak ambil UPSR, baharu nak matang, nak masuk sekolah menengah...samalah dengan Pakatan Rakyat yang baharu nak masuk lima tahun, cuma kita tak ada kertas bocor macam UPSR," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Pakatan Rakyat di sini, malam Jumaat.

Hadir sama Ketua Angkatan Pemuda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad serta pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat negeri.

Dalam ucapannya, beliau turut memberitahu pengundi bahawa pengalaman dan ilmu pimpinan tertinggi dalam Pakatan Rakyat akan mampu menyelesaikan krisis tersebut dalam masa terdekat.

Jelasnya, Pakatan Rakyat melalui calon PAS juga mampu menang dan merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berdasarkan rekod terdahulu.

"Sekarang ini kawasan Barisan Nasional (BN) tapi di peringkat Parlimen kita menang, bermakna kita ada potensi untuk menang dan tawan semula DUN Pengkalan Kubor," katanya.

Tambahnya, kemenangan Pakatan Rakyat di DUN ini penting sebagai isyarat wujudnya muafakat bagi sayap Pakatan Rakyat.

DUN Pengkalan Kubor merupakan satu-satunya DUN yang dimenangi BN di Parlimen Tumpat, milik PAS yang mempunyai empat DUN kesemuanya.

Tiga DUN lagi iaitu Pasir Pekan, Wakaf Baru dan Kelamboran juga dimiliki oleh PAS.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya NoorZahidi, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Allahyarham menjadi Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 September sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September.

Tags / Kata Kunci: PAS , PKR , BN , Pengkalan Kubor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan